Kisah saya

Pohon Rambutan

Satu Hari di Hari Raya

Saya dilahirkan di Kampung Batu 9, Hulu Langat, Selangor — dalam kereta, bawah pokok rambutan.

Selepas Abah bawa Mak keluar hospital sebab nak cari doktor perempuan, mereka cuba cari bidan di kampung. Tapi tak sempat, bidan masa tu tengah sibuk panjat pokok kelapa sebab esoknya dah raya Aidilfitri.

Jadi, saya dilahirkan sebelum sempat dia sampai.

Mungkin sebab itulah saya ditakdirkan memilih bidang ini.

True story.

Dr Salleha Khalid

Salam • Hello • வணக்கம் • 你好

Saya seorang Pakar Fertiliti dan Ginekologi yang bantu pasangan mendapatkan zuriat dan juga wanita di setiap peringkat kehidupan — daripada perubahan hormon, masalah intimasi pasangan hinggalah ke menopaus.

Melalui sesi konsultasi di klinik, media sosial dan platform pendidikan, saya berharap lebih ramai wanita dan pasangan mendapat maklumat yang tepat supaya dapat membuat keputusan yang lebih yakin tentang kesihatan diri dan keluarga mereka.

Perjalanan Pakar O&G

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004, saya memulakan latihan sebagai doktor pelatih di Hospital Kuala Lumpur.

Setahun kemudian, saya berhijrah ke United Kingdom dan meneruskan latihan dalam bidang Obstetrik & Ginekologi (O&G) di beberapa buah hospital di sana. Saya kembali ke Malaysia pada tahun 2010 untuk berkhidmat sebagai pensyarah perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sambil meneruskan latihan klinikal di Hospital Ampang.

Perjalanan awal inilah yang membentuk asas sebelum saya meneruskan latihan kepakaran dalam bidang Obstetrik & Ginekologi serta Perubatan Reproduktif.

Kepakaran O&G

Selepas beberapa tahun menjalani latihan di Malaysia dan United Kingdom, saya memperoleh kelayakan pakar Obstetrik & Ginekologi daripada Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (MRCOG) pada tahun 2014.

Kelayakan pakar ini memberi saya peluang untuk lebih mendalami bidang Obstetrik & Ginekologi sebelum memilih untuk memberi tumpuan kepada bidang fertiliti.

Perubatan Reproduktif

Walaupun Obstetrik & Ginekologi merangkumi pelbagai bidang sub-kepakaran yang lebih menjurus, hati saya lebih dekat kepada membantu pasangan mendapatkan zuriat.

Atas sebab itu saya meneruskan latihan dalam Perubatan Reproduktif di Hospital Putrajaya dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (UKM).

Fellowship Reproduktif

Bagi memperkukuhkan lagi kepakaran dalam bidang fertiliti ini, saya menyambung latihan Fellowship Klinikal di Newcastle Fertility Centre, United Kingdom.

Saya kemudiannya menerima pensijilan dalam Assisted Conception daripada British Fertility Society pada tahun 2019.

Hari Ini

Sophea Fertility Bangi • Femina Specialist Clinic IOI Putrajaya

Selepas lebih 20 tahun dalam bidang perubatan, saya kini berkhidmat sebagai Pakar Fertiliti & Ginekologi di Sophea Fertility Bangi, membantu pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

Pada tahun 2024, kami menubuhkan Femina Specialist Clinic bagi menyediakan rawatan kesihatan wanita yang lebih menyeluruh, termasuk hormon, menopaus, kesihatan intim dan seksual menggunakan teknologi rawatan bukan invasif yang moden.

Walau apa pun sebab saya berada di sini hari ini, latihan perubatan, pokok rambutan atau takdir, saya berharap kami dapat membantu pasangan melangkah dengan lebih yakin dalam memilih rawatan yang bersesuaian dengan keperluan.