- Jan 27, 2026
HRT (Hormone Replacement Therapy): Kenapa Ramai Wanita Masih Ragu dan Apa Yang Perlu Kita Tahu
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Pengenalan
Dalam klinik, antara soalan yang paling kerap saya dengar bila sebut pasal HRT ialah:
“Doktor, selamat ke ambil hormon?”
“Tak bahaya ke? Nanti gemuk, kanser atau ketagih?”
Soalan-soalan ini sangat valid. Ramai wanita datang dengan ketakutan yang sudah lama dipendam, selalunya hasil daripada cerita orang sekeliling, pengalaman generasi terdahulu, atau maklumat dari internet yang bercampur-aduk.
Hakikatnya, HRT hari ini sangat berbeza berbanding rawatan hormon puluhan tahun dahulu yang boleh membantu kualiti kehidupan wanita.
Kenapa Ramai Wanita Masih Ragu Dengan HRT
Antara sebab yang paling biasa saya dengar:
1. Takut Kanser atau Berat Badan Naik
Ini adalah kebimbangan nombor satu.
Ramai wanita masih mengaitkan HRT dengan kanser payudara atau kanser rahim tanpa memahami konteks sebenar. Risiko sebenarnya bergantung kepada
jenis hormon
dos
cara pengambilan
tempoh rawatan
latar belakang kesihatan individu
HRT moden menggunakan dos yang lebih rendah dan lebih hampir kepada hormon semula jadi badan.
Tentang berat badan pula, kebanyakan kenaikan berat badan semasa perimenopause atau menopause sebenarnya berpunca daripada perubahan metabolisme dan gaya hidup, bukan hormon semata-mata.
2. Takut Ketagihan atau Perlu Ambil Seumur Hidup
Ramai wanita takut bila mula HRT, mereka “tak boleh berhenti”.
Sebenarnya, HRT bukan dadah ketagihan. Ia adalah rawatan penggantian untuk hormon yang semakin menurun atau tidak seimbang. Sama seperti insulin untuk pesakit diabetes atau thyroid hormone untuk hypothyroidism.
Tempoh rawatan adalah individualized. Ada wanita perlukan untuk jangka masa tertentu sahaja, ada yang manfaat lebih lama. Keputusan ini dibuat bersama doktor berdasarkan simptom, risiko dan kualiti hidup.
3. Pengalaman Negatif Orang Lain
“Saya ada kawan ambil hormon, jadi teruk.”
“Mak saya dulu ambil, lepas tu doktor suruh stop.”
Masalahnya, rawatan hormon dahulu sangat berbeza. Jenis hormon, dos dan pemantauan juga tidak sama dengan sekarang.
Menggunakan pengalaman orang lain tanpa memahami konteks rawatan mereka sering menambahkan ketakutan yang tidak perlu.
4. Anggap Hormon Sama Macam Supplement atau Vitamin Anti-Aging
Ini satu salah faham yang besar.
HRT bukan supplement.
Ia bukan vitamin.
Ia bukan rawatan kosmetik atau estetik.
HRT adalah rawatan perubatan yang perlu penilaian simptom, pemeriksaan kesihatan dan pemantauan yang betul. Sebab itu ia tidak boleh diambil secara suka-suka atau ikut cadangan kawan.
Realitinya: HRT Moden Jauh Lebih Selamat
Rawatan hormon hari ini lebih fisiologikal. Maksudnya, ia mirip hormon semula jadi badan dari segi struktur dan cara penyerapan.
Doktor kini lebih berhati-hati dalam
pemilihan pesakit
jenis hormon
dos paling minimum yang berkesan
pemantauan berkala
Matlamat HRT bukan sekadar “hilangkan simptom”, tetapi membantu wanita kembali berfungsi dengan baik dari segi
tidur
emosi
kesihatan intim
tenaga
kualiti hidup
Siapa Yang Patut Pertimbangkan HRT
HRT bukan untuk semua orang, dan itu penting untuk difahami. Ia mungkin sesuai untuk wanita yang mengalami
hot flushes teruk
gangguan tidur
mood swings yang menjejaskan kehidupan harian
kekeringan faraj atau sakit semasa hubungan intim
keletihan kronik tanpa sebab lain yang jelas
Keputusan untuk memulakan HRT sepatutnya dibuat selepas perbincangan yang jujur dan terbuka dengan doktor, bukan berdasarkan ketakutan semata-mata.
Penutup
Takut itu normal dan rasa ragu-ragu itu lumrah manusia, lagi-lagi seorang wanita.
Tetapi keputusan tentang kesihatan diri tidak sepatutnya dibuat hanya berdasarkan cerita lama atau maklumat yang tidak lengkap.
HRT moden bukan musuh wanita. Bila digunakan dengan betul, ia boleh menjadi alat yang sangat membantu untuk fasa kehidupan yang sering diketepikan ini.
Jika anda masih ragu, berbincanglah. Bertanya itu lebih selamat daripada terus menderita dalam diam.