• Jul 24, 2025

HyFoSy vs HSG: Ujian Saluran Fallopio Mana Yang Lebih Sesuai?

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Jika pasangan sedang TTC dan doktor sarankan ujian tiub tersumbat, maka ramai mungkin keliru untuk memilih HSG dan HyFoSy. Apa beza kedua-dua ujian ini? Mana satu lebih selesa, tepat dan sesuai?

1. Tujuan utama: Periksa sama ada tiub fallopio tersumbat

Tiub fallopio ialah laluan penting di mana sperma dan telur bertemu, dan di sinilah persenyawaan berlaku. Kalau tiub tersumbat, peluang untuk hamil secara semula jadi akan jadi rendah – sebab itu penting untuk tahu lebih awal.

Ujian HSG (hysterosalpingogram) dan HyFoSy (Hysterosalpingo-Foam Sonography) kedua-duanya digunakan untuk mengesan sumbatan ini.


2. Prosedur: Apa yang berlaku semasa ujian?

HSG:
Dilakukan di hospital atau pusat radiologi. Cecair kontras (dye) akan dimasukkan ke dalam rahim melalui spekulum, dan X-ray akan digunakan untuk lihat sama ada dye itu mengalir ke kedua-dua belah tiub.

HyFoSy:
Dilakukan di klinik pakar kesuburan. Cecair berbuih halus (contrast foam) akan dimasukkan dengan kaedah yang sama, tapi gambar tiub dilihat menggunakan ultrasound transvaginal – tanpa radiasi.


3. Rasa sakit: Mana satu lebih selesa?

Ramai wanita kata HyFoSy jauh lebih selesa berbanding HSG. Ini kerana:

  • Cecair foam dalam HyFoSy lebih lembut dan tidak menyebabkan rasa pedih seperti dye dalam HSG.

  • Tiada tekanan tinggi digunakan, dan prosedur biasanya lebih cepat.

  • Tidak melibatkan X-ray atau peralatan radiologi yang besar.

Tapi perlu diingat, tahap keselesaan juga bergantung kepada pengalaman doktor dan sensitiviti badan anda.


4. Ketepatan: Adakah HyFoSy sebaik HSG?

Kajian terkini menunjukkan HyFoSy sangat tepat untuk menilai saluran fallopio – malah dalam banyak kes, ia sama atau lebih baik daripada HSG untuk detect sumbatan. Tambahan pula, HyFoSy juga boleh lihat keadaan rahim secara serentak melalui ultrasound.


5. Kelebihan lain HyFoSy:

  • Tiada radiasi – sesuai untuk wanita TTC yang ingin elakkan pendedahan X-ray.

  • Boleh terus berbincang hasil dengan doktor – sebab dilakukan oleh doktor sambil explain kepada TTC.

  • Lebih cepat – tiada keperluan tunggu giliran X-ray atau temujanji dengan jabatan radiologi.


6. Bila sesuai pilih HSG?

Walaupun HyFoSy makin popular, ada juga keadaan tertentu di mana HSG masih sesuai, contohnya:

  • Klinik anda belum ada kemudahan HyFoSy.

  • Ada syak bahawa bentuk rahim tak normal yang perlukan pandangan X-ray.

  • Bila doktor mahu lihat struktur pelvis secara lebih luas melalui radiografi.


Kesimpulan:

Kedua-dua HSG dan HyFoSy ada peranan masing-masing, tapi untuk ramai wanita TTC hari ini, HyFoSy merupakan pilihan yang lebih selesa dan praktikal. Di pusat kesuburan seperti Sophea, kami sediakan HyFoSy sebagai sebahagian daripada pakej saringan kesuburan dan ia boleh dilakukan dalam satu lawatan sahaja - suami pun boleh join sekali.

Kalau anda masih keliru atau ingin tahu lebih lanjut sama ada anda perlukan ujian tiub tersumbat, berbincanglah dengan doktor. Pemeriksaan yang betul pada masa yang tepat boleh bantu anda capai impian lebih cepat. 💜

0 comments

Sign upor login to leave a comment