- Dec 22, 2025
IUCD, Depo, Mirena atau Pil: Kenapa Setiap Perancang Memberi Kesan Berbeza Pada Wanita
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Pengenalan
Dalam klinik, soalan ini sangat biasa didengar.
“Doktor, sejak pakai perancang ni, rasa macam hilang mood.”
“Tapi kawan saya pakai jenis yang sama, dia okay je.”
Di sinilah pentingnya kita faham satu perkara asas. Perancang kehamilan bukan one-size-fits-all.
Apa yang sesuai untuk seseorang, mungkin tidak sesuai untuk orang lain. Terutama bila melibatkan hormon dan kesannya terhadap tubuh, emosi dan keintiman.
Kenapa perancang boleh beri kesan berbeza?
Perancang kehamilan berfungsi melalui mekanisme yang berlainan.
Ada yang:
Mengandungi hormon
Tidak mengandungi hormon
Bertindak secara setempat (local effect)
Bertindak secara sistemik ke seluruh badan
Sebab itu, kesannya pada haid, mood, berat badan, kekeringan faraj dan libido juga boleh berbeza antara individu.
Jenis perancang yang biasa digunakan dan kesannya
1. IUCD Copper (Tembaga)
IUCD tembaga tidak mengandungi hormon. Ia berfungsi dengan menghalang persenyawaan melalui kesan mekanikal dan kimia setempat dalam rahim.
Kelebihan utama:
Tanpa hormon
Sesuai untuk jangka panjang
Tidak menjejaskan hormon badan
Biasanya tidak memberi kesan pada libido
Namun, sesetengah wanita mungkin mengalami:
Haid lebih banyak
Senggugut yang lebih kuat, terutamanya pada bulan-bulan awal
2. IUD Mirena (IUCD hormon)
Mirena melepaskan hormon progesteron dalam dos rendah secara setempat di rahim.
Kesan yang sering dilihat:
Haid menjadi lebih ringan atau berhenti
Senggugut berkurang
Kurang risiko anemia
Walaupun hormon bertindak secara lokal, sebahagian kecil wanita masih boleh mengalami:
Perubahan libido
Kekeringan faraj
Perubahan mood ringan
Biasanya kesan ini bersifat sementara dan berbeza antara individu.
3. Implanon
Implanon adalah perancang hormon sistemik, dimasukkan di bawah kulit lengan. Hormon dilepaskan ke dalam aliran darah dan memberi kesan ke seluruh badan.
Kesan yang boleh berlaku:
Perubahan corak haid (tidak teratur atau tiada haid)
Perubahan libido
Libido boleh menurun atau meningkat, bergantung pada individu
Kenaikan berat badan pada sesetengah wanita
Ia sangat berkesan, tetapi tidak semua wanita selesa dengan hormon sistemik.
4. Suntikan hormon (Depo)
Depo juga perancang hormon sistemik dan diberikan setiap tiga bulan.
Antara kesan yang lebih kerap dilaporkan:
Perubahan atau tiada haid
Perubahan emosi
Penurunan libido
Kekeringan faraj
Kenaikan berat badan pada sesetengah individu
Kerana suntikan ini menekan hormon semula jadi badan, kesan sampingan ini dilaporkan lebih kerap berbanding perancang tanpa hormon atau yang bertindak secara lokal.
5. Pil perancang
Pil perancang mengandungi hormon dan perlu diambil setiap hari secara konsisten.
Jika sesuai, ramai wanita rasa:
Kitaran haid lebih teratur
Kurang sakit senggugut
Lebih predictable
Namun bagi sesetengah individu, pil perancang boleh mempengaruhi:
Mood dan emosi
Tahap tenaga
Libido
Rasa kering semasa hubungan intim
Sekali lagi, respon badan sangat individual.
Jadi, perancang mana yang “terbaik”?
Jawapannya jujur dan ringkas.
Tiada perancang yang terbaik untuk semua orang.
Yang ada hanyalah:
Perancang yang paling sesuai untuk badan anda
Gaya hidup anda
Keperluan kesihatan anda
Fasa kehidupan anda ketika itu
Sebab itu, pengalaman kawan atau saudara tidak boleh dijadikan penentu mutlak.
Bila perlu berbincang semula dengan doktor?
Jika anda perasan:
Libido berubah ketara
Emosi jadi tidak stabil
Hubungan intim terjejas
Berat badan naik mendadak tanpa sebab jelas
Atau rasa “ini bukan diri saya”
Itu bukan perkara remeh. Ia adalah isyarat badan yang wajar dibincangkan.
Kadang-kadang, tukar jenis perancang sahaja sudah mencukupi untuk buat anda rasa lebih selesa dan kembali rasa seperti diri sendiri.
Penutup
Perancang kehamilan sepatutnya menyokong kehidupan kita, bukan menyusahkan atau menjejaskan kualiti hubungan suami isteri.
Ambil masa untuk kenal diri sendiri dan jangan takut untuk bertanya atau menilai semula pilihan anda.
Kesihatan wanita bukan sekadar elak hamil, tetapi juga tentang keseimbangan fizikal, emosi dan keintiman.