• Dec 8, 2025

Pelvic Organ Prolapse: Tanda, Punca dan Apa Yang Wanita Perlu Tahu

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai wanita di mengalami gejala seperti kencing bocor, rasa berat di faraj, sembelit atau sakit ketika bersama tetapi tidak sedar bahawa semua ini boleh berkait dengan kelemahan lantai pelvis. Sebenarnya, sekurang kurangnya satu dalam tiga wanita akan mengalami masalah lantai pelvis sepanjang hidup. Dalam artikel ini saya terangkan apa itu prolapse, kenapa ia berlaku, tanda tanda yang perlu peka serta pilihan rawatan yang selamat.

Apa Itu Pelvic Organ Prolapse

Pelvic organ prolapse berlaku apabila organ seperti pundi kencing, rahim atau usus jatuh ke bawah kerana otot lantai pelvis sudah tidak cukup kuat untuk menyokongnya. Ramai wanita menggambarkan rasa seperti ada benda menekan atau terkeluar dari faraj. Ada yang rasa berat, ada yang rasa tak selesa bila berjalan jauh, dan ada juga yang hanya sedar semasa mencuci atau ketika hubungan intim.

Walaupun bunyinya menakutkan, prolapse adalah keadaan yang sangat biasa dan boleh dirawat. Yang penting ialah kenal pasti tanda awal sebelum ia menjadi lebih teruk.


Tanda Tanda Yang Mungkin Berlaku

Tanda prolapse dan masalah lantai pelvis boleh berbeza bagi setiap wanita. Antara gejala yang saya paling kerap dengar di klinik termasuk:

1. Masalah kencing

  • Kencing bocor bila batuk, bersin atau melompat

  • Rasa nak kencing terlalu kerap

  • Susah mulakan kencing atau rasa tak habis kosongkan pundi

2. Masalah pembuangan air besar

  • Sembelit yang kerap

  • Perlu meneran kuat

  • Rasa masih belum habis walaupun sudah buang air

3. Rasa berat atau bulging di faraj

Ini adalah tanda klasik prolapse. Ramai wanita gambarkan seperti ada bebola kecil yang turun, atau rasa "penuh" dan tekanan di bahagian bawah.

4. Sakit

  • Sakit pelvis

  • Sakit ketika atau selepas bersama

  • Sakit semasa buang air besar atau gas

5. Gangguan hubungan intim

Ada yang rasa kurang sensasi, ada yang rasa sakit, dan ada juga yang rasa seperti ada halangan di dalam.


Betul Ke Ramai Wanita Alami Ini

Ya. Ini bukan masalah terpencil.

Kajian menunjukkan sekurang kurangnya satu dalam tiga wanita akan mengalami masalah lantai pelvis sepanjang hidup. Urinary incontinence sahaja sudah melibatkan lebih kurang 25 peratus wanita. Prolapse pula lebih biasa daripada yang kita sangka, walaupun tidak semua mempunyai simptom.

Risiko juga meningkat dengan umur, terutama selepas menopaus apabila hormon estrogen semakin menurun dan struktur tisu menjadi lebih lemah.


Kenapa Prolapse Berlaku

Beberapa faktor boleh menyebabkan otot lantai pelvis menjadi lemah atau tegang tidak seimbang:

  • Kelahiran normal terutama bayi besar atau mengambil masa yang panjang

  • Kehamilan yang berulang

  • Sembelit kronik dan meneran kuat

  • Angkat berat berlebihan

  • Batuk kronik

  • Perubahan hormon akibat menopaus

  • Pembedahan pelvis sebelum ini

Kadang kala wanita rasa bersalah atau malu, tetapi sebenarnya prolapse bukan salah sesiapa. Ia adalah keadaan fizikal yang berlaku apabila sokongan dalaman tubuh semakin lemah. Sama seperti lutut yang perlahan lahan hilang kekuatan, lantai pelvis juga boleh jadi lemah jika terdedah kepada tekanan bertahun tahun.


Bagaimana Diagnosis Dibuat

Diagnosis biasanya mudah melalui pemeriksaan pelvis yang ringkas. Tujuannya untuk memahami tahap prolapse supaya rawatan yang sesuai boleh dicadangkan.

Jika anda ada rasa berat, kencing bocor atau sakit ketika bersama, pemeriksaan ini sangat membantu untuk kenal pasti punca sebenar dan bukan sekadar meneka.


Pilihan Rawatan Yang Selamat

Rawatan bergantung kepada tahap prolapse dan simptom anda. Selalunya rawatan bermula dengan cara paling ringkas dahulu.

1. Latihan lantai pelvis

Senaman Kegel yang betul boleh membantu ramai wanita, tetapi ia perlu dibuat dengan teknik yang tepat. Kadang-kadang wanita mengecutkan otot yang salah, jadi hasilnya tidak seperti diharapkan. Rawatan seperti kerusi kegel magnetik juga boleh membantu jika otot terlalu lemah.

2. Rawatan sokongan seperti pessary

Pessary ialah alat kecil yang diletakkan dalam faraj untuk memberi sokongan dari dalam. Ia sesuai bagi wanita yang belum mahu pembedahan atau mahu elakkan pembedahan.

3. Rawatan hormon untuk wanita menopaus

Krim estrogen faraj boleh membantu menguatkan tisu di kawasan faraj bagi wanita selepas menopaus.

4. Pembedahan

Pilihan ini hanya dipertimbangkan jika prolapse menyebabkan gangguan ketara pada kehidupan harian dan rawatan lain tidak mencukupi.


Bila Perlu Jumpa Doktor

Jika anda mengalami mana mana tanda ini, sudah tiba masa untuk buat pemeriksaan:

  • Kencing bocor semakin teruk

  • Rasa berat atau bulging

  • Sakit ketika bersama

  • Sembelit teruk atau rasa sukar kosongkan pundi

  • Gangguan pada kerja, aktiviti harian atau hubungan suami isteri

Lebih awal anda dapatkan jawapan, lebih cepat untuk memilih rawatan yang sesuai.


Kesimpulan

Prolapse bukan sesuatu yang wanita perlu pendam atau malu. Ia sangat biasa, ia boleh berlaku pada sesiapa, dan yang paling penting, ia boleh dirawat. Tubuh wanita kuat, tetapi ia juga memerlukan penjagaan dan sokongan yang betul. Jika anda mula perasan perubahan pada kencing, keintiman atau rasa berat di faraj, bincanglah dengan doktor. Rawatan awal boleh memberi perubahan besar pada kesihatan, keyakinan dan kualiti hidup seorang wanita.

0 comments

Sign upor login to leave a comment