- Oct 30, 2025
Hypoactive Sexual Desire Disorder (HSDD): Bila Hilang Nafsu Bukan Sekadar “Penat”
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Ramai Wanita Diam Tentang Masalah Ini
Dalam klinik wanita, kita sering bertemu wanita yang mengaku hilang minat untuk bersama suami. Ada yang rasa bersalah, ada juga yang fikir “saya ni pelik ke?”. Hakikatnya, ini bukan masalah “malas” atau “tak sayang suami lagi”, namun ianya boleh berpunca daripada satu keadaan perubatan yang dikenali sebagai Hypoactive Sexual Desire Disorder (HSDD).
HSDD ialah gangguan seksual yang menyebabkan penurunan keinginan seksual secara berterusan atau berulang, sehingga menimbulkan tekanan emosi atau masalah dalam hubungan dan bukan sekadar nafsu.
Apakah Punca HSDD?
HSDD bukan sekadar tentang “mood”, ianya melibatkan gabungan faktor biologi, psikologi dan sosial.
Antara punca termasuk:
• Ketidakseimbangan hormon (seperti estrogen atau testosteron rendah selepas bersalin, perimenopause atau menopause)
• Kesan sampingan ubat (contohnya antidepresan atau pil perancang tertentu)
• Masalah kesihatan seperti diabetes, kemurungan, gangguan tiroid atau endometriosis
• Tekanan emosi dan konflik hubungan
• Pengalaman trauma seksual atau rasa malu terhadap tubuh sendiri
Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 1 daripada 10 wanita di Malaysia mungkin mengalami HSDD pada satu ketika dalam hidup mereka. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa keadaan ini boleh dirawat secara perubatan atau memilih untuk mengambil mudah kerana ingin menumpukan kepada perkara yang dianggap lebih “penting” seperti karier, anak-anak, atau ibadah khusus seperti solat dan mengaji.
Sebenarnya, keintiman juga sebahagian daripada kesejahteraan diri dan rumahtangga. Masalah ini boleh ditangani secara seiring dengan tanggungjawab lain, supaya hubungan suami isteri tidak terjejas dan tidak membawa kepada konflik emosi atau tindakan di luar perkahwinan yang boleh merosakkan kepercayaan antara pasangan.
Bagaimana Nak Tahu Jika Anda Mengalami HSDD?
Tanda-tanda utama termasuk:
• Hilang keinginan untuk seks walaupun sebelum ini pernah ada
• Tiada fantasi atau pemikiran seksual
• Rasa tertekan atau bersalah kerana “tak ada mood”
• Hubungan suami isteri terasa jauh atau tegang disebabkan isu ini
Penting untuk tahu bahawa HSDD bukan sekadar kurang masa atau stress sementara yang mengakibatkan hubungan intim semakin kurang. Ia berlaku berterusan selama beberapa bulan dan memberi kesan pada kesejahteraan diri dan pasangan.
Rawatan: Dari Kaunseling Hingga Ubat Baru yang Diluluskan FDA
Rawatan bergantung pada punca, dan sering melibatkan kombinasi pendekatan fizikal serta emosi.
• Kaunseling pasangan atau terapi seksual untuk membina semula keintiman dan komunikasi
• Rawatan hormon, terutamanya untuk wanita selepas bersalin atau menopause
• Ubat khusus untuk HSDD, termasuk bremelanotide (PT-141)
Bremelanotide (PT-141): Ubat Baru yang Ubah Cara Kita Faham Seksualiti Wanita
Bremelanotide ialah satu rawatan yang diluluskan oleh U.S. FDA pada tahun 2019 khusus untuk wanita pramenopause yang mengalami HSDD.
Berbeza dengan ubat seperti sildenafil (Viagra) yang bertindak pada aliran darah, bremelanotide pula bertindak secara psikologi, membantu merangsang keinginan seksual wanita.
Cara ia berfungsi:
• Ia mengaktifkan reseptor melanocortin di otak, yang berperanan dalam pengawalan mood dan keinginan seksual.
• Ia meningkatkan rangsangan seksual tanpa menjejaskan hormon atau menyebabkan perubahan fizikal luar biasa.
• Diambil dalam bentuk suntikan di bawah kulit (biasanya di abdomen atau paha), kira-kira 45 minit sebelum aktiviti seksual.
Kajian menunjukkan ramai wanita melaporkan peningkatan kepuasan dan keinginan seksual selepas beberapa minggu penggunaan, dengan kesan sampingan yang minima.
HSDD Bukan Tanda Sudah Hilang Kasih, Ianya Permulaan Untuk Dapatkan Bantuan
Kehilangan keinginan seksual boleh membuat wanita rasa rendah diri, bersalah atau menjauh dari pasangan. Tetapi ia bukan sesiapa dan bukan tanda hubungan gagal.
Dengan diagnosis yang betul, rawatan seperti bremelanotide boleh membantu wanita mendapatkan semula keintiman dan keyakinan diri.
Jika anda rasa simptom ini berkait dengan diri anda atau pasangan, berbincanglah dengan doktor untuk dapatkan rawatan. Masalah seksual wanita bukan sesuatu yang perlu disembunyi atau dimalukan.💜