• Dec 13, 2025

Rawatan Hormon, Menopaus dan Kesihatan Seksual Wanita: Apa Yang Perlu Anda Tahu

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai wanita di Malaysia masih takut atau segan untuk berbincang tentang rawatan hormon. Ada yang percaya ia berbahaya, ada yang rasa simptom seperti faraj kering, sakit ketika bersama atau kerap kencing itu perkara biasa apabila meningkat umur. Sebenarnya banyak simptom ini boleh dirawat dan tidak perlu ditanggung senyap senyap. Artikel ini membantu anda faham pilihan rawatan hormon yang selamat dan bagaimana ia boleh meningkatkan kualiti hidup.

Menopaus Bukan Pengakhiran, Tapi Permulaan Fasa Baharu

Apabila wanita memasuki fasa perimenopaus atau menopaus, perubahan dalam tubuh biasanya berlaku secara perlahan. Ada yang mula rasa faraj semakin kering, pedih atau sakit ketika bersama. Ada yang perasan kerap kencing, sukar tidur, cepat marah atau rasa diri sudah “berubah”.

Ramai wanita menganggap semua ini normal dan perlu diterima sahaja.

Hakikatnya, simptom-simptom ini adalah kesan perubahan hormon yang tidak seimbang dan ia adalah isu kesihatan wanita yang hanya perlu diterima begitu sahaja atau sekadar ambil supplement. Sama seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis, ia boleh dipantau dan dirawat.

Menopaus bukan bermaksud hidup perlu menjadi terbatas. Ia cuma satu fasa hormon berubah dan perubahan ini boleh memberi kesan besar kepada keselesaan tubuh, emosi, keyakinan diri dan hubungan intim suami isteri.


1. Menormalisasikan Rawatan Hormon di Malaysia

Di banyak negara, rawatan hormon menopaus (HRT) dan rawatan hormon tempatan seperti estrogen faraj sudah lama menjadi rawatan standard. Ia digunakan bukan untuk “Anti-aging”, tetapi untuk meningkatkan kualiti hidup wanita.

Di Malaysia, kesedaran tentang rawatan hormon semakin meningkat, tetapi masih ramai wanita yang ragu-ragu kerana takut kesan sampingan atau tidak pasti sama ada mereka “layak” untuk rawatan.

Sebenarnya, rawatan hormon boleh membantu:

  • mengurangkan panas badan dan night sweats

  • mengurangkan faraj kering dan pedih

  • mengurangkan sakit ketika bersama

  • mengurangkan kerap kencing atau rasa tidak puas selepas kencing

  • membantu kestabilan emosi

  • memperbaiki kualiti tidur

  • meningkatkan keinginan dan keselesaan dalam hubungan intim

Tidak semua wanita memerlukan rawatan hormon, tetapi bagi wanita yang simptomnya mengganggu kehidupan harian, rawatan ini boleh membawa perubahan hidup yang sangat ketara.


2. Menghapuskan Mitos Dan Ketakutan Lama

Banyak ketakutan terhadap rawatan hormon datang daripada maklumat lama yang tidak lagi relevan dengan amalan perubatan hari ini. Kajian terdahulu menggunakan dos hormon yang lebih tinggi dan formulasi yang berbeza.

Hari ini, rawatan hormon:

  • menggunakan dos yang lebih rendah

  • disesuaikan mengikut keperluan individu

  • dipantau dengan lebih teliti

  • dan jauh lebih selamat untuk kebanyakan wanita yang sihat

Ramai wanita masih diberitahu bahawa hormon “bahaya”, “boleh sebabkan kanser” atau “buat badan naik mendadak”. Sedangkan untuk majoriti wanita yang sesuai, manfaat rawatan hormon jauh mengatasi risiko.

Rawatan hormon topikal seperti estrogen faraj pula hampir tidak diserap ke seluruh badan. Ia sangat membantu untuk masalah faraj kering, sakit ketika bersama dan urinary symptoms, dengan risiko sistemik yang sangat rendah.


3. Menopaus dan Intmasi Pasangan Bukan Isu Remeh

Apabila wanita mengadu sakit ketika bersama, kurang keinginan seksual, susah mencapai orgasm atau kerap kencing, terlalu kerap jawapan yang diterima ialah:

“Ini biasalah bila dah berumur.”

Bila biasa atau kerapa berlaku tepati tidak bermaksud perlu ditanggung begitu sahaja.

Keadaan seperti vaginal atrophy, perubahan tisu faraj, urinary urgency, vulvar pain dan perubahan libido adalah keadaan perubatan yang boleh dirawat. Jika ia menjejaskan hubungan, keyakinan diri atau kesejahteraan emosi, itu petanda rawatan perlu dipertimbangkan.

Wanita tidak perlu merasa malu untuk bercakap tentang tubuh badan sendiri. Kesihatan intimasi wanita adalah sebahagian daripada kesihatan menyeluruh, sama penting seperti kesihatan jantung atau tulang.


4. Risiko vs Manfaat: Melihat Dengan Perspektif Lebih Seimbang

Ramai wanita takut mengambil rawatan hormon kerana bimbang risiko. Tetapi realitinya, tidak mengambil rawatan juga ada risikonya.

Apabila estrogen semakin menurun:

  • risiko osteoporosis meningkat

  • risiko patah tulang bertambah

  • tidur menjadi lebih terganggu

  • emosi lebih tidak stabil

  • hubungan intim menjadi tidak selesa

Semua ini memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan fizikal dan mental.

Cara mudah untuk memahami rawatan hormon ialah begini. Kita ambil vitamin bukan kerana ia menjamin kita tidak sakit, tetapi kerana ia membantu tubuh berfungsi dengan lebih baik. Begitu juga dengan rawatan hormon. Ia bukan untuk menjadikan seseorang muda semula, tetapi untuk membantu tubuh menyesuaikan diri dengan perubahan hormon secara lebih selesa dan stabil.

Yang penting ialah penilaian yang betul, dos yang sesuai dan pemantauan berkala bersama doktor yang terlatih.


5. Bila Anda Patut Berjumpa Doktor

Jika anda mengalami satu atau lebih simptom berikut, berbincang dengan doktor boleh membantu:

  • faraj kering, pedih atau sakit ketika bersama

  • kerap kencing atau rasa kencing tidak puas

  • kurang minat terhadap hubungan intim

  • sukar mencapai orgasm

  • panas badan atau night sweats yang mengganggu tidur

  • perubahan emosi yang ketara

  • sendi sakit, badan cepat letih atau rasa “tidak seperti diri sendiri”

Rawatan tidak semestinya rumit. Ada wanita hanya perlukan rawatan hormon topikal yang disapu. Ada yang memerlukan gabungan rawatan hormon dan sokongan lain seperti fisioterapi lantai pelvis atau kaunseling.

Setiap wanita berhak untuk rasa selesa dalam tubuh sendiri.


Penutup

Wanita hari ini hidup hampir 30 tahun selepas menopaus. Separuh daripada hidup dewasa kita berada dalam fasa hormon rendah, jadi memang wajar untuk kita rasa selesa, sihat dan aktif sepanjang fasa ini. Termasuklah dalam hubungan intim, emosi dan kesejahteraan harian.

Dan untuk suami pula, mereka juga berhak mendapat pasangan yang gembira, lebih stabil dari segi emosi dan selesa dengan tubuh sendiri. Ramai suami sebenarnya hanya mahu isteri yang sihat dan tenang, sebab itu yang membuatkan sebuah hubungan lebih harmoni. Rawatan yang betul boleh membantu kedua-dua pihak rasa lebih dekat, lebih memahami dan lebih kuat sebagai satu pasukan. Bukan saling salah menyalahkan.

0 comments

Sign upor login to leave a comment