- Jan 3, 2026
IVF Bukan Jalan Terakhir: Memilih Rawatan Kesuburan Berdasarkan Punca Sebenar
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Pengenalan
Dalam rawatan kesuburan, satu kepercayaan yang sangat biasa kita dengar ialah ini:
“IVF hanya bila semua cara lain dah habis.”
Kepercayaan ini bukan datang daripada sikap degil atau kurang ilmu. Ia terbentuk daripada pengalaman, nasihat sekeliling, faktor kos, insurans dan juga apa yang mudah diakses pada sesuatu masa.
Isunya, dalam kesuburan dan perubatan secara amnya, kaedah rawatan tidak semestinya sama untuk semua orang. Apa yang sesuai untuk seorang pasangan, boleh jadi tidak sesuai untuk pasangan lain walaupun diagnosis mereka nampak hampir sama.
Kenapa IVF Selalu Dilihat Sebagai “Last Option”?
Ramai pasangan TTC melalui perjalanan yang panjang sebelum sampai ke IVF. Biasanya ia bermula dengan:
rawatan ubat-ubatan atau traditional
pembedahan buang fibroid atau ovarian cyst
pembedahan endometriosis
tunggu dan cuba secara semula jadi
Semua ini dilakukan dengan niat yang baik: untuk “betulkan dulu” sebelum pertimbangkan IVF.
Tambahan pula:
Kebanyakan insurans cover pembedahan ginekologi, tetapi tidak cover IVF
Tidak semua pusat rawatan atau hospital mempunyai akses kepada rawatan IVF
IVF sering digambarkan sebagai rawatan yang mahal, invasif dan “jalan terakhir”
Dalam situasi begini, pilihan rawatan kadang-kadang lebih dipengaruhi oleh sistem perubatan di satu-satu tempat, bukan semata-mata oleh biologi pesakit.
Bila Pembedahan Ada Tempatnya dan Bila Pula Ianya Perlu Dinilai Semula
Pembedahan ginekologi memang ada peranan yang penting dalam rawatan kesuburan.
Contohnya:
fibroid besar yang mengganggu rongga rahim
endometriosis yang menyebabkan kesakitan teruk
cyst yang berisiko komplikasi
Namun, setiap pembedahan, terutamanya yang melibatkan ovari, ada implikasi yang besar terhadap ovarian reserve.
Apa yang ramai pasangan tidak sedar ialah:
ovarian reserve atau rizab telur tidak boleh “diganti”
setiap pembedahan pada ovari berpotensi mengurangkan bilangan telur
kesan ini mungkin tidak ketara serta-merta, tetapi sangat relevan bila IVF dipertimbangkan kemudian
Ini bukan bermaksud pembedahan itu salah. Tetapi ia perlu dilakukan sebagai sebahagian dari pelan kesuburan yang menyeluruh lagi jelas, bukan sekadar kerana ia satu-satunya rawatan yang kelihatan ada.
“When You Have Only a Hammer, Everything Looks Like a Nail”
Dalam dunia perubatan, rawatan yang tersedia sering mempengaruhi keputusan.
Jika satu-satunya rawatan yang mudah diakses ialah pembedahan, maka pembedahan akan kelihatan seperti jawapan untuk hampir semua masalah. Sama juga jika satu-satunya rawatan yang mudah diakses adalah ubatan traditional.
Tetapi kesuburan bukan hanya tentang membuang atau membaiki struktur. Ia tentang:
usia
kualiti telur dan sperma
tempoh TTC
sejarah rawatan
dan peluang realistik untuk hamil
Rawatan yang betul bukan semestinya yang paling biasa dilakukan, tetapi yang paling sesuai untuk keadaan tersebut, pada masa itu.
IVF Bukan Jalan Terakhir Untuk Semua Orang
Ini bahagian yang penting untuk difahami.
IVF bukan rawatan wajib.
Dan IVF juga bukan rawatan terakhir untuk semua pasangan.
Bagi sesetengah pasangan, IVF memang perlu ditangguhkan atau tidak sesuai.
Tetapi bagi pasangan lain, menangguhkan IVF terlalu lama boleh bermaksud:
kehilangan masa
penurunan kualiti telur
peluang kehamilan yang semakin mengecil
Soalan yang lebih penting bukan:
“Bila patut buat IVF?”
Tetapi:
“Apakah rawatan yang paling selari dengan punca masalah ini?”
Faham Punca Dahulu, Baru Pilih Rawatan
Rawatan kesuburan yang baik bermula dengan pemahaman, bukan tekanan untuk cepat membuat keputusan.
Pasangan perlu tahu:
apa punca sebenar sukar hamil
apa kesan setiap rawatan terhadap kesuburan jangka panjang
apa pilihan yang ada, termasuk yang mungkin belum diterangkan
Matlamatnya bukan untuk buat IVF awal atau lambat.
Matlamatnya ialah melindungi peluang kehamilan, bukan tanpa sedar menjejaskannya.
Bila IVF Menjadi Pilihan Pertama
Dalam sesetengah keadaan, IVF bukan lagi rawatan terakhir, tetapi pilihan pertama atau satu-satunya pilihan yang realistik.
Sebagai contoh sekiranya fallopian tube tersumbat atau rosak teruk, di mana telur dan sperma tidak dapat bertemu atau sekiranya azoospermia, apabila sperma tiada dalam air mani dan memerlukan teknik khas
Dalam situasi ini, rawatan lain tidak akan mengubah laluan biologi yang ada. Menangguhkan IVF hanya melambatkan masa tanpa menambah peluang kehamilan.
Maka kerana itu penilaian awal yang tepat sangat penting. Bukan semua pasangan perlukan IVF, tetapi ada yang memang perlu IVF dari awal dan itu bukan kegagalan.
Penutup
Dalam kesuburan, tiada satu laluan yang sesuai untuk semua orang.
Apa yang penting ialah keputusan dibuat berdasarkan diagnosis yang tepat, maklumat yang lengkap, dan pelan yang realistik.
IVF bukan kegagalan dan ia juga bukan jawapan automatik.
Ia hanyalah satu alat dalam rawatan kesuburan dan seperti semua alat lain, ia paling berkesan bila digunakan pada masa yang betul, untuk sebab yang betul.