MULAKAN DI SINI
Setiap wanita dan pasangan mempunyai kisah dan latarbelakang masalah yang berbeza. Berikut ialah antara masalah yang sering kami bantu.
Kesukaran untuk hamil boleh berpunca daripada pelbagai faktor yang melibatkan wanita, lelaki atau kedua-duanya. Pemeriksaan kesuburan yang menyeluruh dapat membantu mengenal pasti punca masalah dan menentukan pilihan rawatan yang paling sesuai.
Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) merupakan salah satu punca utama gangguan ovulasi dan kesukaran untuk hamil. Dengan penilaian yang tepat, rawatan dapat membantu meningkatkan peluang ovulasi dan kehamilan.
Endometriosis boleh menyebabkan sakit haid yang teruk, sakit ketika bersama dan menjejaskan kesuburan. Pemeriksaan awal membantu menentukan tahap penyakit serta pilihan rawatan yang sesuai mengikut keadaan setiap wanita.
Rizab telur yang rendah bermaksud bilangan telur yang masih tinggal di dalam ovari semakin berkurangan. Penilaian awal dapat membantu merancang rawatan kesuburan yang paling sesuai mengikut usia dan keadaan setiap wanita.
Mengalami dua atau lebih keguguran berturut-turut boleh memberi kesan fizikal dan emosi kepada pasangan. Pemeriksaan yang menyeluruh membantu mengenal pasti punca yang mungkin terlibat serta pilihan rawatan bagi meningkatkan peluang kehamilan yang berjaya.
Masalah kesuburan lelaki menyumbang kepada hampir separuh daripada kes kesukaran untuk hamil. Antara puncanya termasuk bilangan sperma yang rendah (oligospermia), tiada sperma (azoospermia) atau bentuk sperma yang tidak normal (teratozoospermia). Pemeriksaan sperma dan penilaian lanjut membantu mengenal pasti punca masalah serta menentukan rawatan yang sesuai untuk pasangan.
Menopaus boleh menyebabkan pelbagai perubahan seperti hot flush, gangguan tidur, perubahan emosi dan faraj kering. Rawatan yang sesuai dapat membantu mengurangkan simptom dan meningkatkan kualiti hidup.
Kekeringan faraj boleh menyebabkan ketidakselesaan, kegatalan dan sakit ketika bersama. Keadaan ini sering berlaku selepas bersalin, semasa merancang, ketika menyusu atau semasa menopaus, dan boleh dirawat mengikut puncanya.
Hubungan seks yang menyakitkan bukanlah sesuatu yang normal dan boleh berpunca daripada pelbagai keadaan seperti vaginismus, faraj kering atau perubahan hormon. Pemeriksaan awal membantu mengenal pasti punca sebenar dan pilihan rawatan yang sesuai.
Perubahan hormon, tekanan, masalah kesihatan atau faktor emosi boleh menyebabkan penurunan nafsu seks. Penilaian yang menyeluruh membantu mengenal pasti punca dan menentukan rawatan yang sesuai.
Vaginismus ialah keadaan di mana otot di sekeliling faraj mengecut secara tidak terkawal sehingga menyebabkan kesakitan atau kesukaran untuk melakukan penetrasi. Rawatan yang sesuai dapat membantu wanita kembali menjalani hubungan intim dengan lebih selesa.
Kebocoran air kencing atau terkucil ketika batuk, bersin atau bersenam merupakan masalah yang biasa dialami oleh wanita, terutamanya selepas bersalin atau apabila meningkat usia. Pemeriksaan awal membantu menentukan punca dan pilihan rawatan yang sesuai.
Rahim jatuh atau prolaps organ pelvis berlaku apabila otot lantai pelvis menjadi lemah dan tidak lagi menyokong organ pelvis dengan baik selepas bersalin atau disebabkan faktor umur. Rawatan bergantung kepada tahap prolaps dan simptom yang dialami.
Jangkitan Human Papillomavirus (HPV) boleh menyebabkan ketuat kelamin dan meningkatkan risiko kanser serviks bagi sesetengah jenis HPV. Pemeriksaan dan rawatan awal membantu mengurangkan komplikasi serta melindungi kesihatan wanita.
Jangkitan kelamin atau Sexually Transmitted Infection (STI) boleh berlaku tanpa sebarang gejala atau menyebabkan simptom seperti keputihan yang tidak normal, luka, ketuat, kegatalan atau sakit ketika membuang air kecil. Pemeriksaan awal membolehkan diagnosis dan rawatan diberikan dengan segera bagi melindungi kesihatan anda dan pasangan.
Kadang kala terma perkataan yang digunakan dalam dunia kesihatan agak berbeza dari kebiasaan. Jangan risau, boleh cuba terangkan masalah yang dihadapi dengan bahasa mudah untuk kami bantu.