Sophea Fertility • Bandar Baru Bangi
Pemeriksaan kesuburan membantu kita mengenal pasti punca kesukaran untuk hamil dan memahami keadaan setiap pasangan.
Sesi konsultasi akan menilai sejarah kesihatan kedua-dua pasangan, termasuk tempoh perkahwinan, usaha untuk mendapatkan zuriat, kitaran haid, penyakit sedia ada, sejarah pembedahan serta rawatan kesuburan yang pernah dijalani. Maklumat ini membantu mengenal pasti punca kesukaran untuk hamil dan menentukan pemeriksaan serta pilihan rawatan yang paling sesuai.
Pemeriksaan ultrasound ginekologi dilakukan untuk menilai keadaan rahim dan ovari dengan lebih terperinci. Imbasan ini membantu mengenal pasti masalah seperti fibroid, cyst ovari atau perubahan lain pada organ reproduktif, di samping menilai bilangan rizab telur melalui pengiraan antral follicle count (AFC) sebagai sebahagian daripada penilaian kesuburan.
Pemeriksaan Anti-Müllerian Hormone (AMH) dilakukan melalui ujian darah untuk menganggarkan rizab telur seseorang wanita. Bacaan AMH membantu memberikan gambaran mengenai bilangan telur yang masih tinggal dan menjadi salah satu faktor penting dalam merancang rawatan kesuburan yang sesuai.
Pemeriksaan sperma merupakan salah satu ujian asas dalam penilaian kesuburan pasangan. Sampel air mani akan dianalisis di makmal bagi menilai bilangan, pergerakan dan bentuk sperma. Keputusan ujian ini membantu mengenal pasti faktor kesuburan lelaki serta menentukan pilihan rawatan yang paling sesuai.
HyFoSy (Hysterosalpingo-Foam Sonography) ialah pemeriksaan ultrasound yang digunakan untuk menilai sama ada tiub fallopio terbuka serta keadaan rongga rahim. Prosedur ini membantu mengenal pasti sekiranya terdapat sumbatan pada tiub fallopio atau masalah lain yang boleh menjejaskan peluang kehamilan.
Pemeriksaan genetik embrio (PGT-A dan PGT-M) dilakukan semasa rawatan IVF untuk mengenal pasti embrio yang mempunyai kandungan genetik yang normal atau bebas daripada penyakit genetik tertentu. Pemeriksaan ini mungkin disarankan bagi pasangan tertentu, seperti wanita berusia 35 tahun ke atas, mereka yang mengalami keguguran berulang atau kegagalan IVF sebelum ini, bagi meningkatkan peluang kehamilan yang sihat.
Berdasarkan keputusan pemeriksaan, kita akan bincangkan pilihan rawatan kesuburan yang paling sesuai untuk meningkatkan peluang kehamilan.