- Nov 13, 2025
Air Liur Sebagai Pelincir: Ramai Buat Tapi Tak Ramai Tahu Risikonya
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
1. Kenapa Ramai Guna Air Liur Sebagai Pelincir
Bila faraj rasa kering, ramai yang spontan guna air liur sebab fikir ia selamat dan mudah. Tambah pula kalau tak ada pelincir di rumah, ia nampak macam “jalan cepat”.
Tapi sebenarnya, air liur dan faraj mempunyai komposisi biologi yang sangat berbeza dan inilah punca utama kenapa ia boleh jadi masalah.
2. pH Air Liur Tak Sama Dengan pH Faraj
Faraj mempunyai keseimbangan pH yang sedikit berasid (sekitar 3.8–4.5) untuk melindungi bakteria baik seperti Lactobacillus. Air liur pula bersifat neutral hingga alkali.
Bila air liur masuk ke faraj, keseimbangan semula jadi ini boleh terganggu. Akibatnya, bakteria baik berkurang, sementara bakteria jahat atau kulat mudah membiak yang boleh menyebabkan keputihan, bau tidak selesa atau jangkitan faraj (BV dan candidiasis).
3. Risiko Jangkitan dan Virus
Air liur mengandungi mikroorganisma yang biasa ada dalam mulut — termasuk bakteria dan virus seperti HSV-1 (herpes simplex virus) dan HPV.
Walaupun seseorang nampak sihat, virus ini boleh hadir tanpa simptom dan berpindah melalui sentuhan mukosa. Jadi bila digunakan sebagai pelincir, risiko jangkitan meningkat, terutama jika ada luka kecil pada tisu faraj.
4. Kesan Pada Sperma (Untuk Yang TTC)
Bagi pasangan yang sedang berusaha hamil, air liur boleh menjejaskan sperma. Kajian menunjukkan komponen dalam air liur boleh memperlahankan atau membunuh sperma, sekaligus mengurangkan peluang untuk persenyawaan berlaku.
Jadi walaupun niatnya hanya untuk “mudahkan hubungan”, ia sebenarnya boleh menjejaskan usaha TTC tanpa disedari.
5. Bila Faraj Kering, Apa Pilihan Selamat?
Kalau faraj rasa kering atau sakit semasa bersama, jangan biarkan sampai hilang nikmat atau menyebabkan luka. Gunakan pelincir yang direka khas untuk hubungan intim seperti water-based atau fertility-friendly lubricants (pH seimbang dan tidak ganggu sperma).
Jika kekeringan berlaku kerap, mungkin ada faktor hormon, penyusuan, atau stress yang perlu dinilai. Berbincang dengan doktor supaya rawatan boleh disesuaikan, sama ada dengan vaginal suppository, hormon atau terapi faraj.
6. Ringkasan: Jangan Guna Air Liur, Jaga Flora Faraj
Air liur mungkin nampak semula jadi, tapi tak sesuai untuk digunakan sebagai pelincir. Ia boleh ganggu pH faraj, sebarkan jangkitan dan jejaskan sperma. Pilih produk yang direka khusus untuk bahagian intim supaya hubungan lebih selesa, selamat dan tidak mengganggu kesihatan jangka panjang.