Rawatan Kesuburan

Terdapat empat jenis rawatan utama yang ditawarkan di Sophea @ Bangi bagi membantu pasangan. Ianya terdiri dari pengambilan ubat dalam bentuk pil bagi membantu ovulasi, rawatan permanian beradas ataupun intrauterine insemination (IUI), rawatan bayi tabung uji ataupun in-vitro fertilisation (IVF) dan rawatan vaginismus.

Ubat Clomid/ Letrozole

Pil ini diberikan pada hari kedua kitaran haid sehinggalah hari ke enam, bermula dengan dos yang paling rendah. Seterusnya ujian imbasan pelvik akan dilakukan pada hari ke 12 kitaran haid bagi memeriksa sekiranya terdapat folikel yang sudah besar saiznya untuk proses ovulasi. Sekiranya terdapat folikel yang saiznya sudah matang maka satu suntikan akan diberikan bagi membantu proses ovulasi berlaku dalam tempoh 24-36 jam. Ini bagi memastikan pasangan dapat bersama pada tempoh waktu tersebut.

Intrauterine insemination (IUI)

Intrauterine insemination (IUI) atau juga dikenali sebagai permanian beradas dilakukan apabila sperma yang telah diproses dimasukkan ke dalam rahim. Rawatan IUI ini melibatkan beberapa siri saringan ujian imbasan bunyi bagi memastikan pembesaran telur dan waktu yang terbaik untuk IUI dilakukan. Secara kebiasaannya, rawatan IUI ini dikhususkan bagi pasangan tidak diketahui punca kesukaran mengandung (unexplained subfertility) atau bagi pasangan yang mengalami kesukaran untuk bersama secara biasa.

In-vitro fertilization (IVF)

In-vitro fertilization (IVF) atau juga dikenali sebagai rawatan bayi tabung uji berlaku apabila telur diambil dari isteri disenyawakan di dalam makmal oleh ahli embriologi. Telur yang telah disenyawakan ini akan menjadi embrio yang kemudiannya akan berkembang dan membahagi dari dua sel ke empat sel, ke lapan sel dan seterusnya. Embrio ini akan menjadi satu gumpalan sel yang padat sebelum dimasukkan semula ke dalam rahim. Proses IVF ini terbahagi kepada lima langkah utama iaitu:

  1. Stimulasi telur (ovari)

  2. Pengambilan telur melalui prosedur Ooctye Pick-Up (OPU)

  3. Sperma suami diproses

  4. Persenyawaan telur dan sperma

  5. Pengembalian embrio ke dalam rahim (embryo transfer)

Vaginismus

Rawatan Vaginismus tidak seharusnya bertujuan untuk mencapai kehamilan semata-mata dan oleh itu adalah sangat penting untuk mempunyai pendekatan multi disiplin di mana ianya melibatkan Pakar Sakit Puan, Pakar Psikologi Klinikal dan Fisioterapi. Matlamat rawatan haruslah membolehkan wanita melakukan hubungan seksual dengan penetrasi secara semula jadi tanpa menyakitkan. Untuk ini, adalah penting untuk mempunyai pasukan perubatan yang khusus serta kepercayaan antara doktor dan pesakit yang tinggi.

Pilihan rawatan kesuburan adalah berdasarkan hasil ujian saringan kesuburan pasangan dan bukan sahaja bergantung dengan keadaan vaginismus yang dihadapi. Teknik rawatan kesuburan sama ada inseminasi buatan (IUI) atau persenyawaan in vitro (IVF) boleh disesuaikan dengan wanita vaginismus yang boleh dilakukan di bawah sedasi untuk melancarkan prosedur dan mengurangkan kemungkinan kesakitan.