• Feb 26, 2026

HRT dan Risiko Kanser Payudara: Perlukah Kita Takut?

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai wanita takut mengambil HRT kerana dikaitkan dengan kanser payudara. Tetapi adakah kita benar-benar memahami risiko sebenar? Artikel ini melihat isu HRT dengan lebih seimbang dan membandingkannya dengan risiko rawatan lain yang kita terima tanpa ketakutan yang sama.

Pengenalan

Dalam klinik, setiap kali saya membuka cerita tentang HRT (Hormone Replacement Therapy) atau bila saya kongsi video pasal HRT di IG dan TikTok — reaksi yang selalu saya dengar ialah:

“Doktor… saya takut kanser payudara. Tak bahaya ke?”

Ya saya faham. Ketakutan itu bukan direka-reka. Isu HRT dan kanser memang pernah menjadi perbincangan besar dalam dunia perubatan. Tetapi selepas lebih 20 tahun perkembangan ilmu, soalan yang lebih penting hari ini bukan sekadar:

“Ada risiko atau tidak?”

Soalan yang lebih tepat dan penting ialah:

“Seberapa besar risikonya dan bagaimana ia dibandingkan dengan risiko lain yang kita terima dalam rawatan perubatan?”


Apa Sebenarnya HRT?

Sebelum kita bercakap tentang risiko, kita perlu jelas dahulu apa itu HRT. Ramai wanita ingin memahami risiko HRT sebelum membuat keputusan.

HRT bukan satu jenis hormon sahaja. Ia boleh melibatkan estrogen, progesteron, dan dalam sesetengah keadaan testosterone.

Saya pernah terangkan dengan lebih terperinci tentang fungsi hormon-hormon ini dan bagaimana ia mempengaruhi tubuh wanita dalam artikel ini Rawatan Hormon Wanita: Estrogen, Progesterone & Testosterone. Memahami asas ini penting supaya kita tidak melihat HRT sebagai satu “ubat berbahaya”, tetapi sebagai terapi yang mempunyai konteks klinikal.


Ya, Risiko Itu Wujud

Kita perlu jujur. Sesetengah jenis HRT, khususnya kombinasi estrogen dan progesteron dalam tempoh tertentu, memang menunjukkan sedikit peningkatan risiko kanser payudara.

Tetapi peningkatan itu biasanya kecil dalam angka sebenar dan bergantung kepada:

  • Jenis hormon

  • Cara pemberian (tablet, tampalan atau sapuan)

  • Tempoh penggunaan

  • Usia mula rawatan

  • Faktor risiko individu

Dalam artikel sebelum ini saya juga ada share kenapa ramai wanita masih ragu-ragu terhadap HRT.
Keraguan itu selalunya datang daripada maklumat yang tidak lengkap atau tidak dikemas kini.


Jom kita lihat secara lebih jujur dan terbuka bila membincangkan risiko dalam dunia perubatan.

Ubat kolesterol seperti statin boleh meningkatkan risiko diabetes pada sesetengah individu.

Ubat tekanan darah juga ada kesan sampingan tertentu.

Namun apabila doktor mencadangkan ubat-ubat ini, kita faham bahawa risiko kecil itu ditimbang dengan manfaat besar seperti mencegah serangan jantung atau strok.

Dalam bidang kanser sendiri, ada ubat seperti tamoxifen yang digunakan untuk merawat dan mengurangkan risiko kanser payudara berulang. Tetapi ubat yang sama juga diketahui boleh meningkatkan sedikit risiko kanser rahim. Ia tetap digunakan kerana manfaatnya jauh lebih besar daripada risiko tersebut.

Begitu juga dengan pil perancang kehamilan (oral contraceptive pill). Ia dikaitkan dengan sedikit peningkatan risiko kanser payudara, tetapi pada masa yang sama ia mengurangkan risiko kanser ovari dan kanser rahim. Kita jarang membincangkannya secara hitam putih kerana kita memahami bahawa kesannya tidak satu arah sahaja.

Sekarang kita lihat faktor lain.

Berat badan berlebihan jelas meningkatkan risiko kanser payudara dan kanser rahim.

Tetapi jarang kita mendengar perbincangan tentang obesiti dengan nada ketakutan yang sama seperti HRT.

Ini bukan bermaksud risiko HRT tidak wujud.

Tetapi dalam perubatan, hampir semua rawatan dan keadaan mempunyai risiko tertentu. Maka kesan sampingan HRT juga perlu difahami secara menyeluruh.

Yang membezakan ialah bagaimana kita menilai imbangan antara risiko dan manfaat.


Tidak Mengambil HRT Juga Bukan “Neutral” dan Tiada Risiko

Kadang-kadang kita bercakap seolah-olah pilihan paling selamat ialah tidak mengambil apa-apa rawatan, life goes on.

HRT menopaus biasanya dipertimbangkan untuk wanita yang mengalami simptom yang mengganggu. Hakikatnya, penurunan hormon selepas menopaus memberi kesan yang jelas kepada tubuh seseorang wanita:

• Gangguan tidur berpanjangan
• Perubahan emosi
• Kekeringan dan sakit ketika bersama
• Hubungan intim yang semakin terjejas
• Risiko osteoporosis
• Risiko penyakit jantung jika menopaus berlaku terlalu awal

Ini juga risiko. Cuma ia tidak datang dengan label “kanser”, jadi ia kurang "menakutkan". Terapi hormon wanita perlu dinilai berdasarkan profil kesihatan individu.

Sebagai doktor yang melihat wanita setiap hari di klinik, saya tahu kesan ini bukan kecil.

Ia menyentuh kualiti hidup dan hubungan rumahtangga.


Soalan Yang Lebih Tepat Untuk Ditanya

Daripada bertanya:

“Bahaya ke HRT?”

Mungkin soalan yang lebih tepat ialah:

“Dalam keadaan kesihatan saya, dengan faktor risiko saya, adakah HRT sesuai atau tidak?”

Ramai wanita mengaitkan menopaus dan kanser payudara setiap kali topik HRT dibincangkan. Keputusan rawatan sepatutnya dibuat secara tenang, berdasarkan maklumat yang lengkap, bukan berdasarkan ketakutan secara umum.

Dalam perubatan, hampir tiada rawatan yang risiko sifar atau zero risk. Yang ada ialah keputusan yang dibuat dengan pertimbangan yang seimbang dan maklumat yang tepat. Itulah informed decision..

Dan setiap wanita berhak untuk memahami keseluruhan gambaran sebelum membuat pilihan.

0 comments

Sign upor login to leave a comment