- Nov 3
Bila Hubungan Suami Isteri Makin Renggang, Mungkinkah Ada Punca yang Jarang Dibincangkan?
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Buka saja media sosial atau bila bersembang dengan kawan-kawan, macam-macam cerita rumah tangga kita dengar.
Ada yang kantoi ada skandal, ada orang ketiga, pasangan tidur berasingan macam roommates, dan ada yang akhirnya bercerai.
Kadang-kadang cerita pasal "skandal" pun dah jadi bahan gurauan. Sampai perkara yang sebenarnya serius pun sekarang ni dianggap normal.
Kita selalu dengar tentang masalah komunikasi, kewangan, orang ketiga atau pasangan yang dah tak sefahaman.
Tapi bagaimana kalau ada masalah kesihatan yang selama ini tak dikenal pasti, dibiarkan tanpa rawatan, atau dianggap terlalu tabu dan memalukan untuk dibincangkan?
Sebenarnya, ada beberapa masalah kesihatan seksual dan reproduktif yang boleh memberi kesan bukan sahaja kepada individu, tetapi juga hubungan suami isteri.
1. Nak hamil, tapi belum berjaya
Setiap bulan menunggu berita gembira, tetapi masih belum berjaya. Lama-kelamaan, tekanan emosi, rasa kecewa dan persoalan siapa yang bermasalah boleh mula membebankan pasangan.
Antara puncanya ialah masalah ovulasi, endometriosis, tiub fallopio tersumbat atau masalah sperma. Ada juga kes yang puncanya tidak dapat dikenal pasti atau unexplained infertility.
Apa yang boleh dilakukan?
Pemeriksaan kesuburan boleh membantu mengenal pasti masalah pada kedua-dua pasangan. Bergantung kepada punca, rawatan mungkin melibatkan ubat subur seperti clomid atau pun IUI atau IVF.
2. Nak bersama, tapi sakit atau susah
Bayangkan seorang isteri yang mengelak hubungan intim kerana sakit, tetapi suaminya menyangka dia sudah tidak sayang. Atau suami yang mengalami masalah ereksi tetapi terlalu malu untuk memberitahu isterinya.
Masalah seperti vaginismus, kekeringan faraj, sakit ketika bersama dan erectile dysfunction adalah masalah kesihatan yang boleh berlaku.
Tanpa pemahaman yang betul, keadaan ini boleh menimbulkan salah faham, rasa ditolak dan akhirnya menjauhkan pasangan.
Apa yang boleh dilakukan?
Ada pelbagai pilihan bantuan seperti rawatan untuk kekeringan, terapi otot lantai pelvis, rawatan dilatasi dengan botox, rawatan masalah ereksi atau terapi psikoseksual, bergantung kepada puncanya.
3. Hubungan intim dah tak macam dulu
Dulu mesra, sekarang makin kurang keinginan untuk bersama. Ada yang susah terangsang, tak ada mood, sukar mencapai klimaks atau langsung tak berminat dengan seks.
Adakah ini bermakna cinta dah hilang?
Tidak semestinya.
Perubahan hormon, menopaus, tekanan kerja, keletihan, ubat-ubatan dan masalah emosi atau hubungan boleh mempengaruhi keinginan dan kepuasan seksual.
Perubahan ini bukan semestinya penyakit. Tetapi apabila ia mula mengganggu diri sendiri atau hubungan suami isteri, ia wajar dibincangkan.
Apa yang boleh dilakukan?
Penilaian kesihatan, rawatan hormon jika sesuai, alat bantuan seksual, kaunseling atau terapi seksual mungkin dapat membantu, bergantung kepada keadaan individu.
Jangan Biarkan Masalah yang Boleh Dibantu Berterusan
Kadang-kadang, masalah yang bermula dengan kesihatan fizikal boleh berkembang menjadi tekanan emosi, salah faham dan konflik dalam rumah tangga.
Sudah tentu bukan semua masalah rumah tangga berpunca daripada kesihatan seksual. Kecurangan juga bukan sesuatu yang boleh dijustifikasikan dengan masalah kesihatan pasangan.
Tetapi bagaimana kalau sebahagian daripada masalah yang dihadapi pasangan sebenarnya boleh dikenal pasti dan dibantu sebelum hubungan menjadi semakin renggang?
Kita perlu lebih terbuka untuk bercakap tentang kesihatan seksual dan reproduktif, sama seperti kita bercakap tentang masalah kesihatan yang lain.
Tidak semua masalah memerlukan ubat atau prosedur. Ada yang memerlukan terapi, kaunseling, perubahan gaya hidup atau sekadar penerangan yang betul.
Yang penting, jangan terus anggap semuanya normal, salah pasangan atau sesuatu yang mesti diterima tanpa mencari jawapan.
Jika anda sedang mengalami salah satu daripada masalah ini, anda tidak keseorangan. Bantuan ada, dan langkah pertama mungkin bermula dengan keberanian untuk bertanya.
Masih Ada Soalan?
Masih ada soalan selepas membaca artikel ini? Kami sedia membantu.