• Feb 16, 2024

Rumusan Artikel Prosedur Rawatan In-Vitro Fertilisation(IVF): Suatu Kupasan Berdasarkan Pandangan Syarak

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai juga yang bertanya dari sudut hukum Islam dalam rawatan IVF. Oleh kerana saya bukanlah pakar dalam bidang hukum agama Islam, maka saya rumuskan sebuah artikel bertajuk "Prosedur Rawatan In-Vitro Fertilisation(IVF): Suatu Kupasan Berdasarkan Pandangan Syarak".

Secara dasarnya, IVF merupakan suatu rawatan yang diharuskan dalam syarak bagi pasangan suami isteri yang memerlukan rawatan kesuburan.

PROSEDUR-PROSEDUR IVF DAN PANDANGAN ISLAM

Prosedur 1: Konsultasi Bersama Doktor

Terdapat dua isu yang ditimbulkan. Pertama, isu berjumpa dengan doktor yang berlainan jantina. Kedua persoalan membuka rahsia keaiban pasangan kepada orang ketiga iaitu doktor.

Jika ada doktor perempuan Muslimah yang pakar dalam bidang ini, maka hukumnya wajib pesakit tersebut berubat dengan beliau. Sekiranya tiada, maka doktor wanita bukan Muslimah sebagai gantinya. Seterusnya jika tiada, barulah diberikan kelonggaran untuk berubat dengan doktor lelaki Muslim dan jika tiada maka doktor lelaki bukan Muslim sebagai pilihan terakhir.

Dibenarkan untuk menceritakan perkara melibatkan diri dan pasangan atas dasar untuk mengetahui kaedah rawatan kesuburan yang sesuai terbaik.

Prosedur 2: Rangsangan ubat

Bolehkah menggunakan ubat yang tidak halal?

Jumhur ulama menyatakan ubat yang tidak halal boleh digunakan dalam keadaan dharurat apabila tidak terdapat ubat lain dan tidak digunakan lebih daripada kadar yang diperlukan.

Prosedur 3: Pengutipan ovum (ovum pick-up, OPU)

Perlukah mandi wajib setelah OPU?

Hukumnya adalah pesakit tidak perlu mandi wajib. Ini kerana ia tidak menepati faktor yang mewajibkan mandi wajib. Selain daripada itu, jumhur ulama telah bersepakat bahawa sebarang alat yang bertujuan untuk perubatan yang dimasukkan ke dalam faraj wanita tidak membawa kepada terbatalnya wudhu.

Bagaimana pula kalau berdarah selepas melakukan prosedur?

Darah yang keluar tersebut bukan darah haid maka pesakit tersebut boleh menunaikan solat dan juga berpuasa kerana ia dikira sebagai darah istihadhah.

Prosedur 4: Pengumpulan Sperma (Seminal Fluid Analysis)

Apakah hukum memberi sampel air mani?

Sampel air mani yang diperoleh secara masturbasi (onani) yang dilakukan menggunakan tangan isteri pula adalah harus. Terdapat perbezaan pendapat bagi onani dengan tangan sendiri. Ada yang menyatakan haram, makhruh dan harus. Bagi yang berpegang dengan pendapat yang menyatakan bahawa melakukan dengan tangan sendiri adalah haram, ia hanya boleh dilakukan dalam situasi dharurat.

Prosedur 5: Pencantuman ovum dan sperma

Bolehkah menggunakan media yang tidak halal?

Di antara perkara yang dipersoalkan adalah penggunaan media atau bahan di makmal yang tidak halal. Dalam tiada alternatif lain, maka diberikan keharusan penggunaannya.

Prosedur 6 & 7: Pemindahan embrio ke dalam rahim dan pembekuan embrio

Bolehkah embrio dipindahkan ke dalam rahim isteri? Bolehkah embrio dibekukan?

Kedua-duanya boleh dilakukan sekiranya embrio yang dibekukan dikembalikan semula kepada pemiliknya dan digunakan oleh mereka yang ada ikatan perkahwinan yang sah.

Rujukan:

0 comments

Sign upor login to leave a comment