• Oct 6, 2024

Keguguran: Sebab, Tanda dan Rawatan

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Keguguran berlaku apabila kandungan tidak menunjukkan tanda-tanda perkembangan seperti tiadanya degupan jantung bayi, biasanya sebelum minggu ke-24 kehamilan. Hampir 1 daripada 4 wanita yang hamil akan mengalami keguguran, dan kebanyakan kes berlaku dalam trimester pertama, iaitu 14 minggu pertama kehamilan.

Tanda-Tanda Keguguran

Antara tanda keguguran termasuk pendarahan dan sakit senggugut. Kadang kala, pendarahan akan disertai ketulan darah yang keluar. Ada juga kes di mana tisu seperti 'isi ikan' atau kantung keluar dari faraj, yang mungkin merupakan kandungan yang keguguran. Sesetengah wanita juga boleh pitam akibat serangan ‘vaso-vagal’, yang terjadi apabila pangkal rahim membuka semasa kandungan keluar. Namun, ada juga wanita yang tidak menunjukkan sebarang tanda keguguran.

1 Daripada 4 Wanita Mengalami Keguguran

Sebab Keguguran

Keguguran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, dan dalam kebanyakan kes, puncanya tidak dapat dikenal pasti. Namun, antara sebab yang mungkin termasuk faktor genetik, perkembangan janin yang tidak sihat, jangkitan kuman seperti Cytomegalovirus, Toxoplasmosis, atau Rubella, serta bentuk rahim yang tidak normal.

Terdapat beberapa faktor risiko keguguran seperti usia wanita melebihi 35 tahun, merokok, dan pengambilan alkohol. Penyakit seperti kencing manis dan Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS) juga boleh meningkatkan risiko keguguran.

Pemeriksaan Keguguran

Doktor akan menggunakan Ultrasound Scan untuk memeriksa tanda-tanda kehidupan janin seperti degupan jantung dan saiz janin. Ujian darah juga dilakukan untuk memastikan paras Hemoglobin dalam tahap normal, dan status darah Rhesus juga diperiksa untuk langkah berjaga-jaga.

Jenis Keguguran

Keguguran terbahagi kepada beberapa jenis, termasuk Threatened Miscarriage, Missed Miscarriage, Incomplete Miscarriage, Complete Miscarriage, Septic Miscarriage, dan Inevitable Miscarriage.

Threatened Miscarriage berlaku apabila pendarahan berlaku tetapi pintu rahim masih tertutup, dan janin masih mempunyai degupan jantung.

Sebaliknya, Missed Miscarriage tidak menunjukkan sebarang gejala keguguran tetapi dikenalpasti melalui ultrasound scan.

Incomplete Miscarriage terjadi apabila sebahagian tisu kandungan keluar, tetapi masih terdapat tisu di dalam rahim.

Complete Miscarriage berlaku apabila semua tisu kandungan telah keluar dari rahim, dan pintu rahim tertutup.

Septic Miscarriage terjadi apabila terdapat jangkitan pada rahim dan tisu kandungan, yang menyebabkan demam, sakit perut, dan lendir dari faraj yang berbau.

Manakala, Inevitable Miscarriage berlaku apabila pintu rahim telah terbuka, dan kandungan akan keluar dalam masa terdekat.

Rawatan Keguguran

Selepas diagnosa dibuat, pesakit akan diberikan tiga pilihan rawatan:

  1. Tunggu dan Lihat – Membiarkan proses keguguran berlaku secara semula jadi tanpa intervensi.

  2. Mengambil Ubat – Ubat hormon diberikan sama ada dalam bentuk pil atau pessari yang dimasukkan ke dalam faraj untuk membantu proses keguguran.

  3. Cuci Rahim (ERPOC) – Prosedur ini melibatkan pembedahan untuk membuang tisu yang tertinggal dari rahim.

Setelah rawatan, ujian air kencing perlu dilakukan selepas tiga minggu bagi memastikan hormon kehamilan (hCG) telah kembali normal.

Boleh Hamil Semula?

Kebanyakan wanita yang mengalami keguguran masih boleh hamil dan melahirkan anak tanpa sebarang masalah di masa hadapan. Masa yang sesuai untuk mencuba semula kehamilan adalah apabila haid sudah kembali normal dan pasangan sudah bersedia dari segi mental dan emosi.

Sokongan Selepas Keguguran

Mengalami keguguran adalah satu pengalaman yang sangat traumatik. Adalah penting bagi ibu dan bapa mendapatkan sokongan daripada pasangan, keluarga, dan doktor. Berdasarkan statistik, berkongsi pengalaman dengan pasangan lain yang pernah melalui keguguran dapat membantu proses pemulihan emosi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sila berbincang dan dapatkn nasihat dengan doktor anda, sekiranya terdapat sebarang persoalan.

0 comments

Sign upor login to leave a comment