- Jul 19, 2025
Sperm Test untuk Lelaki: Panduan Lengkap Sebelum & Selepas Ujian Kesuburan
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Mungkin ada suami anggap ujian kesuburan hanya untuk isteri, sedangkan realitinya hampir 40% kes ketidaksuburan berpunca daripada faktor lelaki. Sperm test bukan saja membantu kesan masalah lebih awal, tapi juga pandu pasangan ke arah rawatan yang betul sama ada IUI, IVF, atau hanya perubahan gaya hidup.
1. Persediaan Sebelum Ujian: Berapa Lama Perlu ‘Puasa’?
Sebelum sperm test, suami perlu berpantang daripada ejakulasi selama 3 hingga 5 hari. Ini termasuk hubungan intim atau masturbasi. Tempoh ini penting supaya jumlah sperma mencukupi untuk dianalisis.
Jangan lebih dari 7 hari kerana menahan terlalu lama boleh menjejaskan kualiti sperma.
Jika datang ke klinik tanpa cukup tempoh pantang, ujian biasanya akan ditunda. Jadi pastikan ikut arahan supaya keputusan lebih tepat.
2. Proses Pengambilan Sampel di Klinik
Sampel air mani diambil melalui masturbasi ke dalam bekas khas yang disediakan oleh makmal atau klinik. Kebanyakan pusat rawatan menyediakan bilik khas yang bersih, selesa dan menjaga privasi.
Sesetengah tempat mungkin menyediakan bahan rangsangan (tiada di Sophea), tapi anda boleh bawa sendiri video atau telefon mengikut keselesaan.
Namun begitu di Sophea, suami juga boleh bawa isteri bersama sebagai sokongan, selagi mana mengikut garis panduan klinik.
Peringatan penting:
Jangan guna pelincir, air liur atau kondom biasa kerana bahan ini boleh ganggu keputusan analisis.
Pastikan tangan bersih dan bebas sabun atau losyen semasa mengambil sampel.
3. Elakkan Minyak Wangi atau Pewangi Badan
Ramai tak tahu, bau pewangi yang kuat boleh ganggu analisis sperma. Sebab itu, kebanyakan pusat kesuburan melarang minyak wangi, semburan badan atau deodoran dalam bilik pengambilan sampel.
Walaupun hanya bau yang tertinggal pada pakaian, ia boleh menjejaskan keputusan ujian.
4. Apa Yang Diperiksa Dalam Sperm Test?
Semen analysis menilai beberapa parameter utama kesuburan lelaki, antaranya:
Kuantiti sperma (sperm count & volume)
Pergerakan sperma (motility) – adakah sperma berenang ke hadapan dengan aktif
Bentuk sperma (morphology) – bentuk kepala dan ekor sperma normal atau tidak
Warna, keasidan & kelikatan (pH dan viscosity)
Kehadiran sel lain seperti sel darah putih yang mungkin tanda jangkitan
Gabungan maklumat ini membantu doktor menilai sama ada sperma sihat dan berupaya menembusi telur untuk kehamilan semula jadi.
5. Bila Keputusan Boleh Diperoleh?
Kebiasaannya keputusan siap dalam 1 hingga 3 hari bekerja, bergantung kepada pusat rawatan. Kalau di Sophea, keputusan biasanya boleh diperoleh pada hari yang sama.
Doktor akan terangkan maksud setiap parameter dan bincang langkah seterusnya sama ada perlukan rawatan tambahan, ubat, atau hanya ubah rutin harian.
Kadangkala, doktor akan ulang ujian selepas sebulan, kerana kualiti sperma boleh berubah akibat demam, stres, kurang tidur, atau pengambilan ubat. Ujian berulang bantu hasilkan gambaran yang lebih tepat.
Kesimpulan: Langkah Kecil, Impak Besar Dalam Perjalanan TTC
Sperm test bukanlah ujian untuk memalukan sesiapa. Ia satu langkah kecil yang memberi makna besar dalam memahami kesuburan suami isteri.
Lebih cepat kita tahu keadaannya, lebih cepat juga kita boleh rancang rawatan yang sesuai dan yang paling penting, anda tidak keseorangan dalam perjalanan ini.
Kalau masih ragu-ragu, berbincanglah dengan doktor. Kadang-kadang satu ujian kecil boleh membuka peluang besar untuk kehamilan yang diharapkan. 💜
Soalan Lazim (FAQ) Tentang Sperm Test di Malaysia
1. Boleh ke buat sperm test di rumah?
Ada kit sperm test di pasaran, tapi ia hanya beri gambaran umum tentang jumlah sperma. Untuk keputusan yang lengkap dan tepat, lebih baik buat di klinik kesuburan kerana ujian makmal akan nilai pergerakan, bentuk dan kualiti sperma secara menyeluruh.
2. Bolehkah bawa sampel air mani dari rumah ke klinik?
Ya, sesetengah klinik dan makmal benarkan sampel dibawa dari rumah, asalkan dihantar dalam tempoh masa tertentu (biasanya 30–60 minit) selepas pengambilan, dan disimpan pada suhu badan. Namun, untuk keputusan paling tepat, kebanyakan lelaki pilih hasilkan sampel terus di klinik atau sewa bilik hotel berdekatan supaya tidak tergesa-gesa.
3. Apa yang boleh menjejaskan keputusan sperm test?
Beberapa faktor boleh menjejaskan keputusan seperti demam, stres, kurang tidur, pengambilan alkohol, merokok, atau ubat tertentu. Sebab itu doktor kadang-kadang minta ulang ujian selepas beberapa minggu untuk dapatkan keputusan yang konsisten.
4. Adakah sperm test menyakitkan atau memalukan?
Tidak sama sekali. Prosesnya mudah serta tidak menyakitkan dan hanya perlu keluarkan air mani dalam bekas yang disediakan. Rasa malu itu normal, tapi ujian ini langkah penting untuk bantu doktor faham tahap kesuburan anda dengan tepat.