• Aug 1, 2025

IUI: Prosedur, Peluang Kejayaan & Siapa Yang Sesuai

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai pasangan TTC akan ditawarkan IUI sebagai langkah awal rawatan kesuburan. Tapi tak semua sesuai, dan tak semua faham apa sebenarnya berlaku dari awal hingga hari prosedur. Artikel ini terangkan dengan jelas siapa yang perlukan IUI, bagaimana ia dilakukan dan apa cabaran yang mungkin dihadapi.

Apa Itu IUI?

Intrauterine Insemination (IUI) ialah satu rawatan kesuburan di mana sperma yang telah diproses dimasukkan terus ke dalam rahim isteri, berdekatan dengan masa ovulasi. Tujuannya ialah untuk memudahkan sperma sampai ke telur dan meningkatkan peluang persenyawaan secara semula jadi.

IUI biasanya dianggap rawatan ‘low-tech’, kurang invasif dan lebih mampu milik berbanding IVF. Tapi ia tetap memerlukan pemilihan kes yang betul supaya hasilnya lebih memberangsangkan.


Siapakah Pasangan Yang Memerlukan IUI?

IUI sesuai untuk pasangan yang mengalami situasi seperti:

  • Masalah ejakulasi atau pancutan pramatang

  • Sperma suami sedikit atau kurang aktif, tetapi masih dalam julat yang boleh diperbaiki

  • Serviks isteri sempit atau hostile (lendir serviks yang menghalang sperma masuk)

  • Pasangan dengan ‘unexplained infertility’

  • Kesuburan berkurang ringan pada sebelah pihak, tapi tidak sampai tahap memerlukan IVF

Namun begitu, IUI tidak sesuai untuk:

  • Tiub fallopio yang tersumbat

  • Kiraan sperma sangat rendah (<5 juta selepas proses)

  • Endometriosis tahap sederhana hingga teruk

  • Usia wanita yang lanjut (biasanya lebih 40 tahun)


Bagaimana IUI Dimulakan?

Rawatan IUI boleh dibuat dalam dua cara: secara natural (tanpa ubat) atau dengan bantuan ubat kesuburan.

  1. Cycle monitoring
    Kitaran haid dipantau dengan ultrasound untuk lihat perkembangan telur.

  2. Ubat subur (jika perlu)
    Biasanya ubat seperti Clomid atau Letrozole digunakan untuk bantu ovari hasilkan satu atau dua telur matang.

  3. Ovulation trigger
    Suntikan hCG diberikan bila telur cukup matang untuk ‘trigger’ ovulasi secara tepat.


Apa Yang Berlaku Pada Hari IUI?

  • Suami akan beri sampel air mani, biasanya di klinik.

  • Sampel akan diproses untuk pilih sperma paling aktif dan buang cecair lain yang tidak diperlukan.

  • Isteri akan dibaringkan dan sperma dimasukkan terus ke dalam rahim menggunakan tiub halus.

  • Proses ini hanya ambil masa beberapa minit dan biasanya tidak sakit.

  • Selepas itu, isteri boleh teruskan aktiviti seperti biasa.


Apakah Faktor Kejayaan IUI?

Beberapa faktor boleh mempengaruhi hasil IUI:

  • Umur isteri: peluang lebih tinggi jika bawah 35 tahun.

  • Bilangan telur matang: ideal 1–2, bukan terlalu banyak.

  • Kualiti sperma: jumlah sperma yang motil selepas proses (post-wash count) ≥5 juta.

  • Masa ovulasi yang tepat dan diselaraskan dengan prosedur.

  • Bilangan cubaan: jika tidak berjaya selepas 3 kitaran, biasanya IVF akan dicadangkan.

Kadar kejayaan IUI secara purata ialah 10–20% setiap cubaan. Boleh jadi lebih tinggi jika semua faktor adalah optimum.


Mengapa IUI Tidak Berjaya?

Ada beberapa sebab mengapa IUI mungkin tidak berhasil:

  • Telur tidak matang atau tidak pecah walaupun ada ovulation trigger

  • Masalah tiub tidak disedari

  • Implantasi tidak berlaku walaupun persenyawaan berjaya

  • Sperma terlalu lemah walaupun sudah diproses

  • Faktor imunologi atau hormon lain yang belum dikenal pasti

IUI bukan jaminan kehamilan. Tapi ia boleh jadi peluang permulaan yang berbaloi untuk ramai pasangan TTC.


Apakah Isu Yang Boleh Berlaku Dalam Rawatan IUI?

  1. Telur terlalu banyak (over-response):
    Kadang-kadang ovari bertindak balas terlalu kuat terhadap ubat subur dan menghasilkan lebih dari 3–4 telur. Bila ini berlaku, IUI akan dibatalkan kerana risiko kehamilan kembar tinggi — boleh menyebabkan komplikasi pada ibu dan bayi.

  2. Sperma terlalu sedikit selepas proses:
    Walaupun awalnya nampak ok, kadang selepas ‘sperm wash’, hanya tinggal sperma aktif yang terlalu sedikit — dalam kes ini, IUI tidak akan diteruskan.

  3. Prosedur terpaksa ditunda:
    Jika ovulasi terlalu awal, atau tiada ovulasi langsung, IUI akan ditangguhkan.


Kesimpulan

IUI ialah rawatan yang ringkas, tapi bukan untuk semua. Bila dibuat dengan pemilihan kes yang betul, hasilnya boleh sangat positif. Tapi bila tidak sesuai, ia hanya akan melambatkan rawatan yang sepatutnya lebih agresif seperti IVF.

Jika TTC sedang pertimbang IUI, penting untuk faham keseluruhan proses, jangkaan hasil, dan bila masa terbaik untuk beralih ke rawatan seterusnya. Jangan buat keputusan sendiri — berbincanglah dengan doktor kesuburan yang TTC rasa selesa💜


Untuk penerangan lebih lanjut, boleh ikuti rakaman Jom Get IUI: Apa Yang Perlu Anda Tahu

0 comments

Sign upor login to leave a comment