• Oct 13, 2025

Ejakulasi Setiap Hari? Antara Kajian dan Realiti

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Kajian terkini menunjukkan ejakulasi yang lebih kerap setiap hari atau setiap dua hari mungkin dapat membantu mengurangkan risiko kanser prostat dan meningkatkan kualiti DNA sperma. Tapi sejauh mana kajian ini boleh diguna pakai untuk semua individu lelaki, terutama untuk mereka yang sedang TTC? Artikel ini menerangkan maksud sebenar di sebalik “setiap hari” itu dan bagaimana ia perlu disesuaikan dengan situasi, kesihatan dan gaya hidup masing-masing.

Ramai pasangan yang sedang TTC akan dengar pelbagai nasihat tentang “berapa kerap patut bersama” untuk meningkatkan peluang hamil. Tapi baru-baru ini, muncul pula perbincangan berdasarkan kajian yang mencadangkan ejakulasi setiap hari atau setiap dua hari boleh beri manfaat tambahan; bukan sahaja untuk kesuburan, tapi juga kesihatan prostat lelaki.

Menarik kan? Tapi sebelum kita anggap ini sebagai “peraturan baru”, mari kita lihat apa sebenarnya yang dikatakan oleh kajian dan bagaimana ianya relevan untuk kehidupan kita seharian.


Apa Kata Kajian?

  1. Kajian Harvard (European Urology, 2016)
    Kajian jangka panjang yang melibatkan lebih 30,000 lelaki mendapati mereka yang ejakulasi lebih kerap (sekitar 21 kali sebulan atau lebih) mempunyai risiko kanser prostat yang lebih rendah berbanding mereka yang jarang ejakulasi. (Sumber Harvard)

  2. Kajian Fertility and Sterility (2019)
    Kajian makmal pula menunjukkan bahawa ejakulasi yang kerap dapat membantu mengekalkan kualiti DNA sperma, mengurangkan risiko DNA fragmentation yang boleh menjejaskan kesuburan dan kejayaan IVF. (Sumber ASRM)

Dua kajian ini menunjukkan manfaat yang menarik bukan sahaja dari segi kesuburan, tapi juga kesihatan lelaki secara keseluruhan.


Tapi Apa Maksudnya untuk Anda?

Kajian-kajian ini adalah hasil pemerhatian pada kumpulan besar, bukan arahan individu.

Dalam dunia sebenar, keadaan setiap individu berbeza dari gaya hidup, tahap stres, kesihatan umum, hingga kepada hubungan dengan pasangan. Maka, walaupun data menunjukkan manfaat ejakulasi kerap, itu tidak bermaksud semua lelaki perlu melakukannya setiap hari.

Bagi pasangan TTC, kekerapan terbaik masih bergantung kepada keselesaan dan keintiman bersama pasangan. Bagi sesetengah orang, setiap dua hari mungkin ideal; bagi yang lain, tiga kali seminggu pun sudah mencukupi.

Yang penting bukan semata-mata kekerapan, tapi juga kualiti hubungan dan emosi yang stabil antara suami isteri.


Bagaimana Kajian Perlu Difahami: “Correlation” Bukan “Prescription”

Kita boleh ambil contoh daripada banyak kajian kesihatan lain.
Kajian menunjukkan wanita yang menyusukan anak mempunyai risiko lebih rendah untuk kanser payudara dan kehamilan juga dikaitkan dengan penurunan risiko kanser ovari.

Tapi adakah ini bermaksud semua wanita perlu hamil atau menyusukan anak untuk elak kanser? Sudah tentu tidak.

Sama juga dengan kajian ejakulasi ini. Ianya menunjukkan perkaitan, bukan arahan. Ia memberi gambaran bahawa kekerapan ejakulasi mungkin memberi manfaat, tapi tetap perlu disesuaikan dengan realiti dan keperluan individu.


Apa Yang Boleh Anda Lakukan

  • Untuk kesuburan: Cuba kekalkan ejakulasi setiap 2–3 hari semasa tempoh subur.

  • Untuk kesihatan prostat: Aktiviti seksual yang sihat dan konsisten membantu peredaran darah dan hormon.

  • Untuk hubungan: Keintiman bukan hanya tentang “kekerapan”, tapi juga komunikasi dan kefahaman bersama.

Dan kalau ada isu seperti cepat pancut, masalah ereksi (ED), atau kualiti sperma yang rendah, berbincanglah dengan doktor. Kadang-kadang, isu ini boleh diatasi dengan perubahan gaya hidup atau rawatan mudah jika dikenal pasti dari awal.


Kesimpulan

Kajian tentang kekerapan ejakulasi ini bukan bertujuan untuk “mewajibkan” rutin tertentu, tapi memberi gambaran tentang bagaimana tubuh lelaki berfungsi dengan lebih sihat melalui aktiviti seksual yang seimbang.
Bagi pasangan TTC, fokus pada kesihatan menyeluruh, komunikasi dan rawatan yang sesuai. Kajian hanyalah panduan dan bukanlah pengganti nasihat perubatan peribadi. Setiap pasangan

Dan seperti semua perkara dalam hidup, apa yang baik dalam kajian perlu disesuaikan dengan realiti individu 💜

0 comments

Sign upor login to leave a comment