• Oct 22, 2025

Mengapa Hubungan Intim Semakin Kurang: Faktor Wanita yang Perlu Difahami

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai pasangan mula perasan hubungan intim semakin jarang berlaku, terutama bila usia meningkat atau selepas beberapa tahun berkahwin. Ia bukan semata-mata “kurang keinginan”, tapi sering berpunca daripada faktor fizikal, hormon, emosi dan psikologi. Dalam artikel ini saya kongsikan punca yang biasa saya jumpa di klinik dan bagaimana ia boleh diatasi.

Bila keintiman mula berkurang

Hubungan suami isteri yang dulu kerap dan penuh semangat, kadang-kadang perlahan-lahan berkurang tanpa disedari. Suami mula berdiam diri, isteri mula mengelak dan akhirnya ia menjadi isu yang sensitif untuk dibincangkan.

Perkara ini kerap berlaku di dalam masyarakat, namun jarang dibincang. Ianya bukan kerana pasangan sudah tiada kasih, tetapi kerana ada faktor biologi dan emosi yang tidak difahami atau diurus dengan betul.


1. Faraj kering (vaginal dryness)

Masalah ini sangat biasa tetapi ramai wanita malu untuk bercakap tentangnya. Kekeringan faraj boleh berlaku akibat hormon estrogen yang menurun (terutama selepas umur 35 tahun, selepas bersalin atau semasa menyusu).

Akibatnya, hubungan menjadi tidak selesa dan ada kalanya menyakitkan. Ramai wanita memilih untuk mengelak terus daripada hubungan, menyebabkan jarak antara pasangan semakin besar.

Berita baiknya keadaan ini boleh dirawat. Pelincir berasaskan air, rawatan hormon topikal atau terapi tertentu boleh membantu.


2. Libido rendah (low sex drive)

Keinginan seksual wanita bergantung kepada hormon, emosi, dan keadaan mental. Tekanan kerja, keletihan, kurang tidur, dan masalah kesihatan (seperti tiroid, PCOS, atau anemia) boleh menyebabkan libido menurun.

Kadang-kadang, wanita tidak menyedari perubahan ini dan hanya terasa “tak ada mood”. Tetapi bagi suami, ini boleh dianggap seperti "rejection".

Apa yang penting ialah memahami bahawa libido boleh dipulihkan semula melalui pengurusan stres, gaya hidup sihat dan kadangkala rawatan hormon jika perlu.


3. Sakit ketika bersama (dyspareunia)

Ramai wanita tidak sedar bahawa sakit ketika bersama bukan perkara normal. Puncanya boleh datang dari kekeringan faraj, endometriosis, vaginismus, atau jangkitan. Bila kesakitan ini berlarutan, minda mula “mengaitkan” seks dengan kesakitan dan secara automatik, keinginan pun hilang.

Rawatan bergantung kepada punca. Ada yang cukup dengan pelincir atau ubat anti-radang, ada pula perlu rawatan fisioterapi lantai pelvis atau dilator therapy. Yang penting, jangan pendam dan dapatkan rawatan.


4. Faktor psikologi dan emosi

Hubungan intim bukan sekadar fizikal, tetapi ia juga sangat dipengaruhi oleh emosi.

Wanita yang sedang melalui tekanan kerja, kemurungan ringan, masalah komunikasi dengan pasangan atau isu imej badan (body image) mungkin mengalami kesukaran untuk ‘mood’.

Hubungan yang tidak harmoni, rasa tak dihargai, atau kurang kasih sayang juga boleh menyebabkan keintiman menurun. Dalam keadaan begini, penyelesaian bukan sekadar ubat atau hormon; tetapi melibatkan komunikasi dan kefahaman antara pasangan.


5. Faktor umur dan hormon

Bila umur meningkat, hormon estrogen dan testosteron menurun. Kedua hormon penting yang mempengaruhi keinginan dan kenikmatan seksual.Selain itu, perubahan fizikal seperti penurunan keanjalan faraj, kekeringan, dan keletihan kronik juga memainkan peranan.

Namun, usia bukan alasan untuk menyerah. Dengan rawatan dan gaya hidup sihat, ramai wanita masih boleh mengekalkan keintiman yang sihat hingga ke usia emas.


6. Jurang keinginan antara lelaki dan wanita

Dalam kebanyakan hubungan, keinginan lelaki dan wanita tidak sentiasa seiring. Lelaki biasanya mempunyai keinginan yang lebih kerap dan konsisten, sementara wanita lebih dipengaruhi oleh keadaan emosi dan konteks.

Ramai suami tidak mahu “meminta” atau “memaksa”, kerana tidak mahu dilihat seperti mendesak. Sementara itu, sesetengah isteri tidak sedar bahawa hubungan intim bukan sekadar memenuhi keinginan fizikal, tetapi juga cara untuk mengekalkan keintiman emosi dan kesihatan perhubungan.


7. Mengapa penting untuk bercakap tentang hal ini

Seksualiti adalah sebahagian daripada kesihatan dan bukan topik yang kotor, jijik atau memalukan. Hubungan intim yang sihat bukan hanya meningkatkan peluang untuk hamil, tetapi juga memberi manfaat kepada kesihatan mental, hormon dan jantung.

Wanita yang mengalami masalah ini digalakkan untuk berbincang dengan doktor agar punca sebenar dapat dikenal pasti dan dirawat. Jangan biarkan rasa malu atau segan menyebabkan hubungan menjadi renggang dan kualiti hidup menurun.

Suami juga perlu proaktif bantu isteri dapatkan bantuan dan rawatan yang sesuai; bukan sekadar hanya memendam perasaan. Bila pasangan saling memahami dan terbuka, rawatan menjadi lebih berkesan dan hubungan pun lebih rapat.


Kesimpulan:

Bila hubungan intim mula berkurang, ia bukan tanda cinta pudar. Tapi petunjuk bahawa tubuh atau emosi memerlukan perhatian.

Kenal pasti punca, bincang dengan pasangan, dan dapatkan nasihat doktor jika masalah berlarutan. Keintiman bukan satu perkara yang kotor atau hanya untuk berseronok, tapi sebahagian daripada kesihatan dan keseimbangan rumah tangga.💜

0 comments

Sign upor login to leave a comment