• Nov 5, 2025

Ayah Saya Hisap Rokok Tapi Masih Subur? Kenapa ‘Nasib Baik’ Tak Sama Dengan ‘Sihat’

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai yang komen “ayah saya dulu merokok 2 kotak sehari pun ada 7 anak!”. Tapi adakah itu bukti rokok tak jejaskan kesuburan? Dalam dunia kesuburan, kita jarang nampak apa yang hilang — peluang yang terlepas, telur yang tak berjaya disenyawakan, atau kualiti sperma yang kelihatan ‘ok’ tapi tak mampu tembusi ovum. Artikel ini bincang tentang “opportunity cost” dalam kesuburan, dan kenapa ‘boleh mengandung’ tak semestinya bermaksud ‘sperma sihat’.

Bila Orang Kata “Tapi Dulu Ayah Saya Pun Merokok…”

Ini antara komen paling kerap bila kita bercakap tentang rokok dan kesuburan.
“Kalau betul rokok rosakkan sperma, kenapa ramai orang merokok tapi tetap boleh dapat anak?”

Jawapan mudahnya: ya, ada yang masih boleh mengandung walaupun merokok atau minum alkohol. Tapi itu bukan bukti yang tabiat tu tidak memberi kesan — ia hanya bermaksud mereka masih cukup bernasib baik untuk berada di hujung spektrum yang belum terjejas sepenuhnya.

Kesuburan dan kesihatan ini bukan hitam putih. Ia bukan sama ada subur atau tidak. Ia satu spektrum — dari sangat subur, hingga sangat rendah dan rokok boleh menarik seseorang lebih jauh ke arah yang tidak sihat, sedikit demi sedikit.


Apa Yang Kita Tak Nampak: “The Opportunity Cost” Dalam Kesuburan

Dalam bidang ekonomi, opportunity cost bermaksud sesuatu yang kita hilang tanpa sedar apabila kita buat satu pilihan. Dalam kesuburan, konsep ini sangat relevan.

Contohnya, seorang lelaki yang merokok mungkin masih boleh hasilkan sperma dan isterinya boleh mengandung. Tapi apa yang dia tak nampak ialah:

  • Ada banyak telur yang gagal disenyawakan kerana sperma terlalu lemah atau lambat.

  • Ada embrio yang tak melekat walaupun kelihatan normal di awalnya.

  • Ada potensi kehamilan yang tak sempat berlaku kerana sperma tak cukup kuat untuk tembusi telur.

Kesannya tak selalu nampak secara jelas, tapi ia berlaku di belakang tabir. Cuma kita tak nampak.


Kualiti Sperma Bukan Sekadar “Ada Sperma”

Ramai ingat bila air mani nampak normal dan kuantitinya banyak, bermaksud sperma sihat. Tapi realitinya, sperma boleh kelihatan “OK” secara kasar, sedangkan DNA di dalamnya sudah rosak akibat bahan toksin dari rokok dan alkohol.

Kajian menunjukkan lelaki yang merokok cenderung mempunyai:

  • DNA fragmentation lebih tinggi, yang boleh jejaskan keupayaan sperma tembusi ovum.

  • Motiliti lebih rendah, jadi sperma kurang aktif dan lambat sampai ke telur.

  • Morfologi tidak normal, menyebabkan sperma gagal berfungsi dengan baik.

Kesemua ini mungkin tidak terus menyebabkan “infertiliti total”, tapi cukup untuk menurunkan peluang kehamilan dan meningkatkan risiko keguguran awal.


Nasib Baik Tak Boleh Dijadikan Bukti

Ada orang terselamat dari kemalangan walaupun tak pakai tali pinggang keledar tapi kita tak akan guna cerita itu untuk kata “tak payah pakai tali pinggang, sebab ada orang pernah selamat tapi tak pakai pun”.

Begitu juga dengan kesuburan.

Hanya kerana seseorang yang merokok masih boleh dapat anak, tak bermaksud tabiat itu selamat atau tiada kesan. Ia cuma bermaksud dia berada di sisi “nasib baik” dalam spektrum kesuburan dan kesihatan secara umum.

Sebaliknya, bagi pasangan yang sedang TTC dan sudah berusaha lama, setiap peratus peluang sangat berharga. Bila peluang semulajadi sudah menurun kerana usia atau faktor lain, tabiat seperti merokok dan alkohol hanya memperkecilkan ruang yang tinggal.


Kesimpulan: Jangan Terlalu Percaya Cerita “Dulu-Dulu”

Kita selalu dengar kisah orang lama yang tetap subur walaupun merokok, minum, atau tidur lewat. Tapi banyak perkara yang berbeza dulu. Dulu umur kahwin lebih muda, kesuburan wanita masih optimum dan gaya hidup kurang stres.

Hari ini, dengan umur mula berkahwin yang meningkat dan tekanan hidup yang tinggi, setiap faktor kecil boleh memberi kesan besar.

Jadi kalau sedang TTC, berhenti merokok dan alkohol bukan sekadar usaha kecil, ianya langkah yang tepat untuk tingkatkan peluang kehamilan yang mungkin tak dapat kita nampak sekarang, tapi sangat bermakna satu hari nanti.

0 comments

Sign upor login to leave a comment