• Aug 13, 2025

Sperm: Dari Gaya Hidup ke Ujian Kesuburan

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai pasangan TTC fokus pada kesihatan wanita, tetapi sebenarnya hampir separuh kes kesuburan melibatkan faktor lelaki. Gaya hidup, pemakanan, dan ujian sperma memainkan peranan besar dalam menentukan peluang untuk hamil. Artikel ini akan terangkan bagaimana sperma dihasilkan, faktor gaya hidup yang mempengaruhi, dan apa yang doktor lihat semasa ujian analisis sperma.

Kenapa Perlu Ambil Berat Tentang Sperma?

Dalam dunia TTC, topik sperma kadang-kadang jarang dibincangkan. Namun, WHO melaporkan bahawa sekitar 40–50% masalah kesuburan berpunca daripada faktor lelaki. Sperma yang sihat bukan sahaja tentang kuantiti, tetapi juga kualiti dan keupayaan untuk sampai ke ovum.


Bagaimana Sperma Dihasilkan?

Proses penghasilan sperma dipanggil spermatogenesis, berlaku di dalam testis dan mengambil masa kira-kira 72–90 hari. Ini bermakna apa yang anda lakukan hari ini; dari diet hingga tabiat harian boleh memberi kesan kepada kualiti sperma 3 bulan akan datang.


Faktor Gaya Hidup yang Mempengaruhi Kualiti Sperma

Beberapa faktor boleh membantu atau merosakkan kesihatan sperma:

  • Pemakanan seimbang: Tinggi antioksidan (buah-buahan, sayuran, kacang, bijirin penuh) membantu mengurangkan kerosakan DNA sperma.

  • Berat badan sihat: Obesiti boleh mengganggu hormon dan menurunkan kiraan sperma.

  • Kurangkan alkohol & berhenti merokok: Nikotin dan alkohol berlebihan menurunkan motiliti sperma.

  • Kurangkan haba pada testis: Elakkan sauna, mandi panas terlalu lama, dan pakaian terlalu ketat.

  • Aktiviti fizikal sederhana: Bersenam dengan konsisten baik, tetapi elakkan latihan ekstrem berlebihan.


Apa yang Kami Lihat Dalam Ujian Analisis Sperma

Ujian ini dilakukan selepas tempoh abstinens 2–7 hari dan melibatkan pemeriksaan berikut:

  1. Volume – Jumlah air mani yang dikeluarkan. Normal ≥ 1.5 ml.

  2. Kiraan sperma (concentration) – Berapa banyak sperma per ml. Normal ≥ 15 juta/ml.

  3. Motiliti – Peratus sperma yang bergerak dengan baik. Normal ≥ 40% motil.

  4. Morfologi – Bentuk sperma yang normal, sekurang-kurangnya 4% mengikut kriteria ketat WHO.

  5. pH & kelikatan – Menunjukkan kesihatan persekitaran sperma.

  6. Kehadiran sel abnormal – Contoh: sel darah putih berlebihan menandakan jangkitan.


Kenapa Keputusan Sperma Boleh Kurang Baik?

  • Gaya hidup tidak sihat

  • Pendedahan kepada bahan kimia berbahaya

  • Masalah hormon

  • Varikokel (urat testis bengkak)

  • Jangkitan atau penyakit kelamin

  • Faktor genetik


Bolehkah Kualiti Sperma Diperbaiki?

Ya, dalam banyak kes, kualiti sperma boleh bertambah baik dengan perubahan gaya hidup dan rawatan yang sesuai. Ini kerana sperma mengambil masa lebih kurang 3 bulan untuk matang sepenuhnya. Jadi, langkah seperti memperbaiki diet, berhenti merokok, mengurus stres, dan mengekalkan berat badan sihat boleh memberi kesan positif pada ujian seterusnya.

Namun, jika selepas tempoh pemantauan keputusan masih tidak menunjukkan peningkatan, rawatan kesuburan mungkin perlu diteruskan segera mengikut nasihat doktor.


Kesimpulan
Sperma sihat adalah separuh daripada perjalanan TTC. Menjaga kesihatan diri melalui gaya hidup yang baik dan mendapatkan penilaian kesuburan awal adalah kunci untuk meningkatkan peluang hamil.💜

0 comments

Sign upor login to leave a comment