• Oct 8, 2025

Oligospermia, Oligoteratozoospermia dan Azoospermia: Apa Maksud dan Langkah Seterusnya untuk TTC?

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Mungkin ramai pasangan TTC terkejut bila hasil ujian menunjukkan “sperma sikit” atau “tiada sperma langsung.” Tapi sebenarnya, ada pelbagai jenis masalah sperma dan setiap satu perlukan pendekatan berbeza. Dalam artikel ini, kita bincang dengan lebih jelas tentang oligospermia, oligo-teratozoospermia dan azoospermia, serta apa langkah rawatan yang sesuai untuk setiap keadaan.

Bila pasangan datang ke klinik untuk buat ujian sperma, keputusan yang diterima kadang kala boleh buat jadi celaru. Ada istilah seperti oligospermia, oligoteratozoospermia dan azoospermia. Tapi apa sebenarnya maksud semua ini dan yang lebih penting: bagaimana ianya mempengaruhi peluang untuk hamil?

1. Apa Itu Oligospermia?

Oligospermia bermaksud jumlah sperma yang rendah. Normalnya, jumlah sperma melebihi 15 juta per mililiter. Bila kurang daripada itu, peluang untuk sperma bertemu telur juga menurun. Punca boleh datang daripada pelbagai faktor seperti stres, tabiat merokok, obesiti, varicocele (salur darah testis yang melebar) atau pendedahan kepada haba yang tinggi.

2. Apa Itu Oligoteratozoospermia?

Dalam keadaan ini, bukan sahaja jumlah sperma rendah (oligo-), tapi bentuknya juga banyak yang tidak normal (terato-). Sperma yang tidak normal dari segi bentuk atau pergerakan mungkin tidak mampu menembusi telur dengan baik, menjadikan proses persenyawaan lebih sukar. Keadaan ini sering dikaitkan dengan gaya hidup, jangkitan, gangguan hormon, atau faktor testis itu sendiri.

3. Apa Itu Azoospermia?

Azoospermia ialah keadaan di mana tiada sperma langsung dalam air mani. Ia boleh berlaku disebabkan oleh 2 faktor:

  • Masalah penghasilan sperma (non-obstructive) – testis tidak menghasilkan sperma.

  • Halangan saluran (obstructive) – sperma dihasilkan tetapi tersumbat sebelum keluar.

Bagi keadaan ini, doktor mungkin akan cadangkan ujian lanjut seperti hormon, ultrasound, atau biopsi testis (TESA / PESA) untuk menentukan punca sebenar.

4. Apa Langkah Seterusnya Bila Sperma Bermasalah?

Langkah rawatan bergantung kepada puncanya.

  • Gaya hidup: berhenti merokok, kurangkan berat badan, ambil makanan kaya antioksidan.

  • Rawatan perubatan: ubat hormon atau rawatan jangkitan jika ada.

  • Rawatan kesuburan: seperti IUI atau IVF, bergantung kepada tahap sperma dan faktor isteri.

Bagi azoospermia, kadang-kadang pembedahan kecil boleh bantu dapatkan sperma terus dari testis untuk digunakan dalam IVF (melalui prosedur TESA/PESA). Boleh baca lebih lanjut di sini Azoospermia dan Kesuburan.

5. Adakah Sperma Boleh Diperbaiki?

Dalam sesetengah kes, ya. Penghasilan sperma mengambil masa sekitar 3 bulan. Jadi perubahan gaya hidup dan rawatan yang konsisten boleh menunjukkan hasil positif dalam beberapa bulan. Namun, ada juga kes yang memerlukan bantuan teknologi kesuburan seperti IVF atau ICSI untuk peluang kehamilan yang lebih tinggi.

Kesimpulan:

Masalah sperma bukan pengakhiran perjalanan TTC. Yang penting ialah memahami jenis masalah yang dihadapi dan merancang langkah seterusnya dengan bimbingan doktor. Jika keputusan sperma anda menunjukkan oligospermia, oligoteratozoospermia atau azoospermia sekali pun, mohon bincang dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan yang sesuai.

Setiap kes adalah unik, dan rawatan yang sesuai hanya boleh ditentukan selepas penilaian menyeluruh. Yang penting, jangan tunggu terlalu lama serta pantau keputusan dengan teliti dan mulakan rawatan awal sekiranya perlu, kerana kualiti sperma boleh berubah dan kadang kala menjadi lebih teruk jika dibiarkan.💜

0 comments

Sign upor login to leave a comment