- Feb 22, 2024
Ujian Tiub Fallopian: Apa Pilihan Yang Ada?
- Dr. Salleha Khalid
- 0 comments
Tiub fallopio adalah saluran yang bersambung dengan rahim. Ia berperanan ‘menangkap’ telur yang dikeluarkan dari ovari dan membolehkan telur tersebut bergerak ke arah rahim. Proses persenyawaan berlaku di dalam tiub fallopio. Embrio yang terbentuk akan mula membahagi di dalam tiub fallopio sambil bergerak ke arah rahim di mana ia kemudiannya menempel.
Sekiranya salah satu atau kedua-dua tiub fallopian tersumbat, ini memberi kesan kepada keupayaan anda untuk hamil. Oleh itu, pemeriksaan tiub fallopian adalah antara pemeriksaan yang dilakukan ketika ujian saringan dilakukan.
Terdapat tiga cara bagaimana tiub fallopian diperiksa. Ini boleh dilakukan samada melalui penggunaan X-ray atau lebih dikenali sebagai Hysterosalpingography (HSG), menggunakan Ultrasound Hysterosalpingo-kontras-ultrasonografi (HyFoSy), atau melalui teknik pembedahan Laparoskopi.
Wanita yang tidak pernah mengalami jangkitan di pelvis, kehamilan luar rahim atau mengalami endometriosis secara umumnya teknik yang boleh digunakan adalah samada HSG atau HyFoSy bergantung kepada kemudahan yang ada. Wanita yang disyaki mempunyai endometriosis atau jangkitan pelvis sebelum ini akan ditawarkan laparoskopi. Laparaskopi adalah sesuai digunakan pada masa yang sama kerana ia boleh dirawat pada masa yang sama.
HyFoSy
HyFoSy adalah prosedur kecil yang biasanya dilakukan di antara hari ke lapan hingga hari ke dua belas dari permulaan tempoh haid. Pewarna HyFoSy akan dibancuh terlebih dahulu. Tiub kecil dipenuhkan dengan pewarna HyFoSy dan dimasukkan ke dalam rahim melalui serviks atau pangkal rahim. Pewarna ini seterusnya akan mengalir melalui tiub ke rongga rahim akan dapat dilihat secara real-time dengan menggunakan ultrasound
HSG
HSG adalah sama seperti HyFoSy, tetapi aliran pewarna akan dapat dilihat dengan menggunakan X-ray berbanding dengan menggunakan ultrasound untuk HyFoSy. Ia boleh menjadi agak tidak selesa sedikit tetapi kebanyakan wanita dapat melaluinya dengan baik. Terdapat juga sedikit risiko jangkitan yang boleh merebak dari vagina ke pelvis. Oleh itu saringan untuk jangkitan ditawarkan sebelum prosedur atau anda akan diberikan antibiotik.
Laparoskopi
Teknik laparoskopi adalah sejenis pembedahan kecil menggunakan kamera dan biasanya dilakukan sebagai kes balik hari. Wanita akan diberi ubat tidur oleh pakar bius, potongan kecil (1cm) dibuat di pusat dan perut anda dimasukkan gas. Kamera kecil dimasukkan ke dalam lubang tersebut. Potongan kedua yang lebih kecil (1/2 cm) dibuat untuk membolehkan alat lain digunakan yang membantu pakar bedah memeriksa rahim, ovari dan tiub fallopian.
Pewarna biru disalurkan ke rahim dan diperhatikan ketika ia memenuhi dan kemudian keluar dari tiub fallopian sekiranya tidak tersumbat. Laparoskopi adalah dikaitkan dengan lebih banyak risiko daripada HSG atau HyFoSy. Maka tidak hairanlah laparoskopi hanya digunakan pada situasi tertentu sahaja.
Risiko termasuk jangkitan, pendarahan berlebihan yang memerlukan pemindahan darah, pembekuan darah di kaki dan paru-paru, dan kerosakan pada usus, pundi kencing dan saluran darah utama adalah antara risiko yang ada walaupun ianya jarang sekali berlaku.
Kesimpulan
Pilihan ujian untuk tiub fallopian bergantung pada keadaan kesihatan dan latar belakang anda. Setiap ujian mempunyai kelebihan dan batasannya yang tersendiri. Bincangkan perkara ini dengan pakar kesuburan anda bagi membolehkan anda untuk membuat keputusan yang terbaik.
Anda juga boleh join modul online Jom Get Pregnant! untuk mendapatkan penerangan lanjut.