• Oct 29, 2025

Sexless Marriage atau Perkahwinan Tanpa Seks yang Tidak Ramai Tahu

  • Dr. Salleha Khalid
  • 0 comments

Ramai pasangan yang sudah berkahwin sebenarnya hidup dalam sexless marriage — bukan sebab tiada cinta, tapi kerana hubungan intim terasa jauh, menyakitkan, atau tiada keinginan langsung. Artikel ini kupas dua punca utama yang sering terlepas pandang: faktor fizikal seperti vaginismus dan kekeringan faraj, serta faktor emosi seperti stres, mood dan libido yang menurun.

Sexless marriage atau perkahwinan tanpa seks bukan isu luar biasa.

Ramai pasangan di Malaysia mengalaminya secara senyap: hidup bersama seperti biasa, tapi keintiman fizikal makin hilang tanpa disedari.

Masalah ini bukan sekadar “kurang nafsu” atau “tak romantik lagi.” Namun dalam kebanyakan kes, punca sebenar jauh lebih kompleks dan melibatkan dua bahagian penting: tubuh dan emosi.


1. Bila tubuh mula menolak

Kadang-kadang, tubuh kita sendiri memberi isyarat yang menyakitkan.

Vaginismus ialah keadaan di mana otot faraj mengecut tanpa kawalan setiap kali cuba bersama, menyebabkan sakit yang teramat atau mustahil untuk penetrasi. Ramai wanita rasa ini “masalah dalam kepala”, padahal ia sebenarnya reaksi refleks otot yang boleh dirawat dengan terapi lantai pelvis dan bantuan pakar.

Selain itu, dyspareunia, iaitu rasa sakit semasa hubungan seksual, juga sangat biasa berlaku. Ia boleh berpunca daripada jangkitan, radang, atau tisu faraj yang menipis dan sensitif akibat penurunan hormon estrogen — contohnya selepas bersalin, ketika menyusu, perimenopause, atau kesan ubat tertentu. Bila faraj kering atau mudah luka, hubungan jadi tidak selesa, pedih, dan boleh meninggalkan trauma kecil pada tubuh serta minda. Lama-kelamaan, ketakutan terhadap rasa sakit ini menyebabkan wanita mula mengelak hubungan sepenuhnya.


2. Bila minda pun letih

Keinginan seksual (libido) tidak muncul bila fikiran sarat dengan beban harian. Ramai wanita datang ke klinik berkata, “Saya sayang suami, tapi rasa tak ada mood langsung.”

Stres dan keletihan mental memainkan peranan besar — bila otak sentiasa dalam mode “fight or flight”, tubuh susah nak ‘switch on’. Hormon testosteron yang turut mempengaruhi keinginan seks juga boleh menurun bila stres berpanjangan.

Selain itu, emosi dan hubungan harian juga memberi kesan. Bila komunikasi dengan pasangan renggang, atau rasa tidak dihargai, tubuh secara semula jadi “shut down”. Seks bukan semata-mata tentang fizikal — ia refleksi keintiman emosi yang stabil.

Kadang-kadang, isu ini bukan sekadar keletihan biasa, tapi keadaan yang dikenali sebagai Hypoactive Sexual Desire Disorder (HSDD) — bila keinginan seksual menurun secara berpanjangan hingga menjejaskan hubungan. Ramai wanita tak sedar ia adalah medical condition yang boleh dirawat, bukan semata-mata “masalah dalam kepala”. [Baca lebih lanjut tentang HSDD di sini.]


3. Bila kedua-dua faktor bergabung

Apabila masalah fizikal dan emosi datang serentak, pasangan mudah terperangkap dalam kitaran yang sukar dipecahkan:
Sakit → takut → elak → rasa bersalah → makin jauh.

Tanpa bantuan, keadaan ini boleh berlanjutan bertahun-tahun. Kedua-dua pihak rasa terasing — isteri dengan rasa bersalah, suami pula dengan rasa ditolak.


4. Jangan biarkan keadaan jadi “normal”

Ramai pasangan akhirnya menerima keadaan ini sebagai sesuatu yang “biasa” dalam perkahwinan lama. "Dah tua, takkan nak jadi macam budak muda" kata mereka lagi.

Tetapi hakikatnya, keintiman yang sihat sangat penting — bukan sekadar untuk kesuburan, tapi juga kesejahteraan mental dan emosi kedua-dua pasangan.

Khabar baiknya, rawatan memang wujud namun ramai memilih untuk terima dan berdiam diri.

Fisioterapi lantai pelvis boleh bantu untuk vaginismus, rawatan hormon boleh atasi kekeringan faraj, ubat rangsangan libido dan terapi pasangan atau kaunseling seksual boleh bantu membina semula keintiman yang hilang.

Langkah pertama ialah bercakap mengenainya dan dapatkan bantuan doktor. Ia bukan tentang “seks semata-mata” atau "perkara jijik bila dah tua", tetapi tentang hubungan yang lebih hangat, saling memahami dan kembali bermakna.

0 comments

Sign upor login to leave a comment